Kelantan United FC sasar ke Liga Super

692

 

PASUKAN Kelantan United FC yang beraksi dalam Liga M3 musim ini meletak sasaran tinggi mahu beraksi dalam saingan lebih kompetitif iaitu Liga Super dalam tempoh tiga tahun akan datang lapor RIFQIE RUZAIEN.

Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sasaran tersebut mampu direalisasikan berdasarkan persiapan rapi selain pembentukan pasukan yang dianggap paling mantap, pada musim ini.

“Kita jangka layak ke Liga Premier tahun depan, (layak) Liga Super 2021. Paling tidak dalam masa tiga tahun kita akan melangkah ke Liga Super.

“Insya-ALLAH kerja yang kita buat ini akan dapat lihat hasil kebangkitan bola sepak Kelantan secara menyeluruh dalam masa tiga hingga lima tahun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Kelantan United FC yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat serta barisan pemain dan pegawai kelab bola sepak berkenaan.

Menurut Che Abdullah lagi, walaupun Kelantan United FC tidak membariskan pemain bintang namun beliau yakin skuad kendalian Zahasmi Ismail mampu pergi lebih jauh dalam saingan musim ini.

“Kita akan tumpu satu perlawanan ke satu perlawanan lain dan amat penting untuk kita meraih kemenangan bagi mencapai sasaran beraksi di liga lebih atas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengharapkan peminat bola sepak Kelantan memberi sokongan padu kepada Kelantan United FC, pada musim ini.

“Kelantan mempunyai sejarah menarik dalam landskap bola sepak sejak beberapa tahun lalu dan ini dibuktikan apa ramai pemain kita bermain dengan negeri lain.

“Kehadiran Kelantan United FC juga membuka ruang kepada bakat baharu dan matlamat kerajaan negeri sudah tentu mahu melihat pasukan ini ditunjangi belia bermaruah,” ujarnya.

Komen anda