Kelantan United tagih sorakan This is Kota Bahru malam ini

78
Foto: FB Kelantan United Football Club

RODLY FADLY

AYUH penyokong Kelantan penuhkan stadium!

Itulah harapan jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail menjelang perlawanan menentang Terengganu FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam ini.

Zahasmi mengakui beliau amat mendambakan kehadiran ‘pemain ke-12’ kerana sedar kudrat serta semangat pemainnya sahaja tidak memadai untuk menyaingi kekuatan lawannya itu.

Justeru, beliau menyeru penyokong bola sepak negeri itu agar memenuhi setiap inci ruang stadium bagi memberi suntikan moral kepada anak buahnya.

“Di atas kertas, kita tidak boleh menafikan jurang keupayaan antara Kelantan United dengan Terengganu. Ia ibarat pertembungan antara dua darjat kerana mereka bermain dalam Liga Super sedangkan kami hanya bertaraf liga amatur (Liga M3).

“Kami akan turun sebagai underdog tapi tidak akan menyerah kalah sebelum berjuang. Saya percaya kepada falsafah bahawa ‘bola itu bulat’, macam-macam perkara pelik boleh berlaku dan kami akan cuba melakukan kejutan.

“Namun, saya memerlukan sokongan ‘pemain ke-12’ untuk membantu merealisasikan impian itu. Selain 11 pemain di dalam padang, saya yakin mereka boleh memainkan peranan untuk kami mengalahkan Terengganu kelak.

“Saya harap penyokong akan memenuhi stadium kerana walaupun kami hanya sebuah kelab kecil, namun kami membawa nama Kelantan,” ujar Zahasmi.

Jurulatih yang pernah membimbing skuad The Red Warriors itu berkata pemain-pemainnya kini berada dalam kondisi bersemangat tinggi terutama selepas mengalahkan Banggol Tok Ku FC 2-0, semalam, bagi melonjak ke kedudukan tangga ketiga Liga M3.

Begitu pun, Zahasmi tidak menyembunyikan kebimbangannya dengan tahap kecergasan pemain ekoran berdepan jadual yang padat kerana jarak perlawanan Liga M3 dan Piala FA agak rapat.

Malah, beliau mungkin hanya mampu menurunkan seorang tenaga import sahaja untuk berdepan Terengganu memandangkan kecederaan dialami pemain dari Guinea, Seydou Sako belum pulih sepenuhnya.

“Sudah dua perlawanan Sako terpaksa direhatkan kerana kecederaan dan kami hanya bergantung pada (Elano Carlos) Zozimar. Saya masih memantau tahap pemulihannya dan berharap dapat diturunkan menentang Terengganu yang pasti menurunkan semua importnya,” katanya.

Komen anda