Kelayakan Olimpik Tokyo 2020: Malaysian Tigers mungkin berdepan Jerman, New Zealand, Sepanyol atau Kanada

129

MISI Malaysian Tigers untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijangka berdepan laluan getir apabila bakal menentang satu daripada empat negara – Jerman, New Zealand, Sepanyol atau Kanada pada pusingan kelayakan terakhir Olimpik pada Oktober dan November depan.

Ketua Jurulatih negara, Roelant Oltmans berkata, Malaysian Tigers di ranking ke-12 dunia kemungkinan menentang pasukan yang menghuni ranking antara tujuh hingga ke-10 berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) minggu lalu.

“Juara Olimpik tiga kali, Jerman menduduki ranking ketujuh diikuti New Zealand (8), Sepanyol (9) dan Kanada yang menghuni ranking ke-10 dunia. Berdasarkan ranking semasa, kemungkinan ini antara lawan yang akan kita bertemu.

“Bagaimanapun, ranking pasukan akan berubah selepas mata ditambah, hasil daripada kutipan mata pada kejohanan benua, September ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di sini, hari ini.

Mengikut format FIH, pasukan yang diundi pada saingan kelayakan terakhir itu akan bermain secara timbal balik dengan pemenang layak ke Tokyo.

Dalam pada itu, Roelant berkata, pemainnya sedang menunjukkan kemajuan positif dalam sesi latihan khusus dalam ujian kecergasan yang dijalankan baru-baru ini.

“Saya positif dengan perkembangan pasukan tetapi yang pasti, kami hanya tahu kemajuan sebenar apabila bertemu pasukan handalan dunia pada siri Jelajah Eropah mulai 21 Julai ini,” katanya.

Kemungkinan senarai 20 pemain ke Jelajah Eropah akan diumumkan Khamis ini, katanya.

Skuad Malaysian Tigers akan berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan terakhir Olimpik.

Selepas Jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Olimpik di Tokyo dengan pasukan Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos ini.

Komen anda