Kembali warnai Liga Malaysia? Gomez kunci mulut…..

1988
Gomez ketika membimbing Persib Bandung,
BEKAS Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mengesahkan beberapa kelab di negara ini menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat beliau.
Pengendali kelahiran Argentina berusia 62 tahun itu yang kini tidak membimbing sebarang kelab selepas kontraknya ditamatkan kelab Indonesia,  Persib Bandung, bagaimanapun mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ mengenai kelab yang berminat membawanya kembali ke Malaysia.
“Ada beberapa wakil kelab menghubungi saya, tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara itu, dan perbincangan tersebut juga tidak mencapai sebarang persetujuan.
“Saya tidak akan mendedahkan kelab mana berminat mendapatkan khidmat saya kerana menghormati semua pihak. Jika ada tawaran (sesuai), saya akan umumkan perkara itu, tetapi pada masa ini tidak ada (perjanjian) hitam putih,” katanya.
Dalam hal tersebut, Gomez tidak menyembunyikan keterujaannya untuk kemungkinan kembali ke Malaysia, selepas memenangi pelbagai piala bersama JDT sepanjang membimbing skuad Harimau Selatan dari 2015 hingga 2017.
“Liga Malaysia tetap istimewa di hati saya, lebih-lebih lagi saya memiliki kenangan hebat bersama JDT. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak berminat membimbing pasukan dalam liga ini.
“Saingan liga ini mempunyai daya tarikan tersendiri dan imej liga ini semakin terkenal memandangkan ramai pemain terbaik terutama dari rantau Asia Tenggara mahu beraksi dalam Liga Malaysia,” kata Gomez.
Sebagai rekod, Gomez membimbing JDT untuk muncul kelab pertama dari Malaysia merangkul kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2015.
Beliau juga membantu skuad Harimau Selatan meraih gelaran Liga Super berturut-turut pada 2015 dan 2016, di samping Piala FA dan Piala Sumbangsih 2016. – Bernama
CAPTION
Gomez ketika membimbing Persib Bandung,

Komen anda