Kemperman semakin membara bantu UniKL

283

 

 

BARISAN bintang import dari Belanda, Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga yang memperkuatkan pasukan UniKL kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Tenaga Nasional Berhad dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, esok.

Sebelum ini  ketiga-tiga pemain import itu bersama David Harte (Ireland) dan Kieran Govers terpaksa beraksi dalam kepenatan untuk perlawanan awal liga sebaik tiba di negara ini minggu lalu.

“Kini kami semakin menyesuaikan diri dan lebih bersedia berbanding bertemu UiTM Ahad lalu apabila kami masih merasai kepenatan menaiki penerbangan panjang. Bagaimanapun kami tetap menikmati aksi berkenaan dan memenanginya.

“Saya kini tidak sabar menghadapi aksi bertemu TNB dengan fizikal kami kini berada dalam keadaan lebih baik,” katanya yang menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas UiTM sebagai aksi pemanas badan yang baik baginya merasai suasana sebenar perlawanan di negara ini.

Menjadi sebahagian daripada barisan pemain Belanda, Kemperman dan Verga memainkan peranan penting ketika Belanda meraih tempat kedua di Piala Dunia 2018 di India manakala Havenga adalah pelatih skuad kebangsaan.

Hanya Tim Deavin dari Australia menjadi satu-satunya pemain import yang tiba awal dengan dia turut beraksi dalam kempen Piala Tan Sri P Alagendra tempoh hari.

“Kami kini lebih mengenali rakan sepasukan dan selepas tiga sesi latihan ia menakjubkan apabila kami kini semakin selesa beraksi satu sama lain.

“Saya fikir kami perlukan sedikit masa dan perlu lebih bersabar. Jika kami terus bekerja keras kami mampu menewaskan mana-mana pasukan,” katanya.

Malah Kemperman juga pemenang tiga Piala Dunia, turut meningatkan rakan sepasukan agar kekal tenang walaupun berada dalam situasi ketinggalan satu atau dua gol.

“Jika kami terlampau terburu-buru ia akan menjadikan situasi lebih sukar. Lebih mustahak untuk kami kekal tenang, cuba mengawal permainan dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin pukulan sudut penalti. Itu yang dibuat kami pada suku ketiga dan keempat dalam aksi dengan UiTM.

“TNB saya difahamkan, adalah pasukan yang kuat terdiri daripada pemain kebangsaan. Tetapi kami perlu kekal merendah diri dan kekal fokus,” katanya.

 

Komen anda