Kena bijak bahagi masa: Pandelela

300
Ratu terjun negara Pandelela Rinong dan pemain hoki kebangsaan Mohammad Fitri Saari adalah antara 5,279 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018.
Pandelela, 25, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, dan Mohammad Fitri, 25, bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan.
Dalam kenyataan dikeluarkan UM di sini semalam, Pandelela berkata, tenaga pengajar dan rakan sekuliah banyak membantunya dalam subjek yang dipelajari.
“Selain bergelut dengan tugasan serta kelas dan pada masa sama membuat persiapan menyertai pertandingan terjun di pelbagai peringkat menyebabkan saya perlu bijak membahagikan masa,” katanya.
Mohammad Fitri pula melahirkan perasaan sedikit terkilan kerana tidak dapat beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman mulai kelmarin kerana memilih menghadiri majlis konvokesyen itu.
“Bukan mudah membuat pilihan, namun saya memilih menjayakan majlis graduasi ini kerana ia bukanlah acara yang setiap hari boleh saya sertai.
“Selain itu, saya mahu meraikan pengorbanan diri saya, keluarga dan rakan-rakan serta tenaga pengajar yang banyak berkorban untuk saya menggenggam segulung ijazah,” katanya.
Kedua-dua atlet negara itu dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada Selasa (23 Oktober).
Dua lagi atlet yang bakal menerima ijazah masing-masing ialah atlet taekwondo Ryan Chong Wy Lunn dan pemain futsal Nurul Atiqah Zaifulizan. – Bernama

Komen anda