‘Kenyataan Manchester City mahu beli kelab Malaysia sekadar ditokok tambah’ – TMJ kongsi tangkap layar perbualan Whatsapp

361
FOTO: Instagram HRHCrownPrinceof Johor

KENYATAAN Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Manchester City berminat untuk membeli sebuah kelab di Malaysia sebelum ini didakwa sebagai kenyataan yang hanya ditokok tambah.

Ini selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi satu tangkap layar di Instastorynya semalam yang seolah-olah menafikan berita tersebut.

Tunku Ismail berkongsi perbualan Whatsapp yang menjelaskan faktor kedatangan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City, Ferran Soriano ke Malaysia.

"Ferran memberitahu saya bahawa kenyataan itu (mahu beli kelab bola sepak di Malaysia) hanya ditokok tambah. Dia berada di Kuala Lumpur untuk melawat penaja.

"Mereka (Manchester City) memang ada menyuarakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia seperti kebanyakan negara lain, tetapi mereka tidak akan membeli mana-mana kelab," tulis individu bernama Tincho 2 dalam tangkap layar tersebut.

Terdahulu, Tunku Ismail turut berkongsi gambar kerjasama yang terjalin di antara JDT dengan Manchester City sejak 2015 lagi.

"Kerjasama dengan Manchester City dan City Group pada 12 Januari 2015. Seseorang itu patut hanya memberi fokus kepada e-sukan," tulis Tunku Ismail pada hantaran tersebut.

Sebelum ini, Syed Saddiq memberi bayangan sebuah kelab di Malaysia mungkin dibeli juara Liga Perdana Inggeris itu selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Manchester City di Kementerian Belia dan Sukan, Jumaat lalu.

Syed Saddiq berkata, hasil daripada mesyuarat itu menyaksikan kemungkinan wujudnya jalinan kerjasama untuk City membangunkan bola sepak di sini termasuk menjadikan sebuah kelab di Malaysia sebagai kelab sokongan kepada kelab yang juga merangkul kejuaraan treble musim ini itu.

Komen anda