Kerajaan Perak bantu atlet negeri ditimpa bencana

18

KERAJAAN Perak akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada kapten skuad bola baling Sukan Malaysia (SUKMA) negeri, Nur Fazira Mohd Nor selepas rumahnya di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar musnah dalam kebakaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata pihaknya bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan melawat atlet berusia 21 tahun itu bagi menghulurkan bantuan.

“Kita akan pergi ke rumah Nur Fazira untuk sampaikan bantuan sama ada baik pulih atau membina semula rumahnya yang musnah dalam bencana itu pada Selasa lepas.

“MSN negeri juga akan menyampaikan bantuan apa yang termampu bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh Nur Fazira sekeluarga,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam, Nur Fazira bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Dalam perkembangan lain, Lee meminta mana-mana bekas atlet negeri supaya berdaftar dengan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi memudahkan penyaluran bantuan termasuk kewangan dan sara hidup lain kepada mereka.

Beliau berkata usaha itu bagi memastikan kebajikan bekas atlet negeri sentiasa mendapat pembelaan bagi menghargai sumbangan serta jasa mereka yang pernah mengharumkan nama negeri di persada sukan.

“Bantuan diberikan kepada bekas atlet yang memerlukan bukan sesuatu secara ‘one off’ sahaja tetapi merupakan bantuan secara berterusan kerana kita mahu menjaga kebajikan bekas atlet dan keanggotaan komuniti sukan di negeri ini.

“Setiap permohonan daripada bekas atlet akan diteliti terlebih dahulu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan kerana bantuan akan diberi pertimbangan berdasarkan situasi semasa individu tersebut,” katanya.

Pada April lalu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu melalui peruntukan kewangan dan pelbagai perkhidmatan lain.

Komen anda