Keupayaan United cabar Liverpool, City rebut trofi EPL diragui

129

PEMAIN tengah Manchester United, Nemanja Matic meragui keupayaan The Red Devils untuk menjadi pencabar Liverpool dan Manchester City dalam pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Menurutnya, United mempunyai pemain yang berkualiti, namun tidak memiliki pengalaman untuk menandingi pasukan seperti City yang dilihat sempurna pada semua bahagian.

“Kualiti dan pengalaman akan memastikan kita dapat menjulang piala. Dalam pasukan ini ada kualiti tetapi tiada pengalaman.

“Kita mempunyai lima atau enam orang pemain bintang tetapi mereka masih muda seperti Marcus Rashford dan Anthony Martial. Mereka telah menunjukkan kualiti di atas padang tetapi masih muda untuk menjadi tunjang utama dalam pasukan,” katanya.

Pemain kelahiran Serbia itu memenangi trofi EPL lebih banyak berbanding rakan-rakannya di Old Trafford dengan menjulangnya pada musim 2014/2015 dan 2016/2017 ketika bersama Chelsea.

Bagaimanapun, Matic mencabar rakan-rakan sepasukannya terutama pemain muda untuk cuba mendapatkan trofi EPL musim ini, namun dalam masa sama mengharapkan peminat United supaya bersabar kerana ia memerlukan masa yang lama untuk seseorang pemain menimba pengalaman.

“Mason Greenwood mempunyai potensi yang baik. United mempunyai perancangan dan tahu apa yang hendak dibuat untuk jangka masa panjang tetapi penyokong harus beri masa kerana anda tahu pada usia 17 tahun, anda tidak boleh bayangkan dia bermain seperti seorang pemain yang berusia 26 atau 27 tahun.

“Dalam bola sepak semua hanya melihat kepada keputusan yang dicapai. Penyokong harus bersabar dan pada masa depan saya yakin pemain ini akan membawa United kembali di landasan kejuaraan,” katanya

The Red Devils komited membawa masuk beberapa pemain muda antaranya pemain 21 tahun, Aaron Wan Bissaka dan Daniel James dalam usaha memperkukuhkan pasukan.

Komen anda