Keyakinan Selangor United membara

158

JURULATIH Selangor United, Abd Talib Sulaiman menyifatkan kejayaan membenam pendahulu Liga Premier, UiTM FC melonjakkan semangat dan keyakinan buat pemainnya untuk bersaing merebut kedudukan terbaik dalam carta liga.

Baginya, kemenangan 2-1 yang diraih pada 24 Mei lalu itu adalah kejayaan bersama barisan pemain yang sememangnya mahukan tiga mata berharga bagi memperbaiki kedudukan mereka.

“Berhadapan UiTM FC bukanlah tugas mudah sebagaimana kita ketahui mereka memimpin liga, namun pemain membuktikan semangat serta keyakinan serta kerja berpasukan mengatasi segala-galanya.

“Kami berjaya mendahului lawan pada minit 27 hasil jaringan Kovacevic Danko sebelum lawan menyamakan kedudukan melalui Calijuri Maycon selepas dua minit babak kedua bermula.

“Namun pemain tidak mudah putus asa memburu gol dan usaha berkenaan terhasil pada minit ke-60 melalui Clovis Franklin yang menjaringkan gol kedua dan memastikan kemenangan mutlak buat pasukan,” ujarnya.

Selangor United kini berada di tangga keenam liga selepas mengumpul 18 mata hasil lima kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan dan bakal bertemu Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu ini dan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi selang tiga hari kemudian untuk menentang Negeri Sembilan.

Mengenai kekurangan yang masih ada dalam pasukan, Abd Talib mengakui masih banyak perlu dilakukan barisan pemainnya dari masa ke semasa dan perkara ini sedang diatasi pengurusan serta pemain.

“Masih banyak perlu dipertingkatkan, setiap perlawanan pemain menunjukkan kemajuan dan ini memberikan petunjuk positif dalam skuad, saya mengharapkan rentak kemenangan dan semangat pemain mampu diteruskan pada perlawanan seterusnya,” tegasnya.

Komen anda