KFA kekal heret Akhyar ke CAS

256

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menegaskan pihaknya kekal dengan keputusan untuk mengheret kes Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, barisan peguam KFA sudahpun meneliti perkara tersebut dan kini berada dalam proses terakhir.

"Kami dah bincang dengan pasukan peguam dan apapun akan bergerak mengikut teknikal dan prosedur. Apa yang dibangkitkan oleh FAM (yang mahu berbincang), itu adalah pandangan mereka.

"Kami pula berpandangan akan meneruskan apa yang kami rasa kita betul. Namun dalam hal-hal lain, KFA akan tetap bersikap profesional dengan FAM dan juga Malaysian Football Leageu (MFL) bagi persediaan Liga Malaysia," katanya pada sidang media petang tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul turut memaklumkan bahawa KFA tidak akan mengeluarkan Surat Pelepasan Pemain (SPP) buat Akhyar Rashid untuk ke Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun pemain tersebut sudah menjalani latihan bersama Harimau Selatan.

"Sekiranya persatuan mengeluarkan sijil berkenaan seolah-olah kami bersetuju dengan perpindahan tersebut. Kami rasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan keluarkan. Kalau kami keluarkan seolah-olah kami setuju dengan perpindahan ini," katanya.

Komen anda