KFA kena siasat isu ulat tiket

251
Laporan Sinar Harian kelmarin.

RODLY FADLY

JAGUH Utara Fan Club (JUFC) menganggap pendedahan mengenai aktiviti ulat tiket yang berselindung di sebalik nama kelab penyokong sebagai serius dan meminta Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menyiasat dakwaan itu.

Sehubungan itu, Pengerusi JUFC, Mohd Safarizal Mohd Sobri turut meminta pengasas Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim yang membuat dakwaan itu agar segera tampil mengemukakan bukti kepada KFA.

“Pada saya dakwaan yang dibuat oleh Puaka Jerai (panggilan untuk Zulkifli) sesuatu yang serius. Kalau sekadar hendak cari publisiti, saya rasa tidak perlu tapi kalau betul-betul dia nak jaga nama baik Kedah daripada dirosakkan oleh ulat tiket, Puaka Jerai perlu tampil ke hadapan.

“Saya berharap dia segera jumpa KFA untuk memberi bukti sebagaimana didakwa ada dalam tangannya dan KFA pula perlu menyiasat dakwaan ini,” kata Safarizal atau lebih mesra dengan panggilan Jatt.

Jatt yang aktif bersama kelab penyokong sejak lima tahun lalu dan pernah menjadi jurucakap Gabungan Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah (G32), bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

Malah, sehingga sekarang beliau masih tertanya-tanya kelab penyokong manakah yang dimaksudkan terbabit dalam aktiviti ulat tiket sebagaimana dakwaan Zulkifli kerana sepanjang penglibatannya, isu itu tidak pernah timbul sebelum ini.

“Namun, saya tidak menafikan ada kemungkinan perkara ini berlaku sebagaimana didakwa kerana pada 2016, kelab penyokong yang buat rombongan ke final boleh menempah tiket melalui KFA.

“Setiap kelab penyokong diperuntukkan tiket hanya untuk sebuah bas tapi saya difahamkan ada kelab yang memanipulasikan keadaan itu dengan memohon tiket lebih daripada sebuah bas,” katanya.

Sukan Sinar semalam mendedahkan modus operandi digunakan ulat tiket dengan berselindung di sebalik nama kelab penyokong untuk mendapat bekalan tiket sebelum dijual di pasaran gelap.

Zulkifli yang membongkar perkara itu berkata aktiviti berkenaan dikesan berlaku menjelang final Piala Malaysia 2016 membabitkan pasukan Kedah menentang Selangor di Stadium Shah Alam apabila ulat tiket mendapat peruntukan tiket melalui kelab penyokong, menjual semula pada harga tinggi.

Beliau mendakwa mempunyai bukti berupa rakaman percakapan pihak terbabit namun tidak mendedahkan atau melaporkan kepada KFA sebelum ini dengan harapan ia tidak berulang.

Begitu pun, berdasarkan situasi semasa, beliau bimbang ia masih berlaku memandangkan kelab serta individu yang pernah terbabit dengan kegiatan berkenaan kini dilihat semakin rapat dengan KFA.

Apatah lagi Kedah kini sedang berada pada prestasi terbaik dan layak ke separuh akhir Piala FA yang mungkin dijadikan ‘lubuk’ untuk ulat tiket menangguk di air keruh dengan berselindung di sebalik nama kelab penyokong.

Komen anda