KFA sudah pasang ‘spy’ dalam usaha banteras komplot Ulat Tiket

154
Pendedahan Sukan Sinar semalam.

Oleh: RODLY FADLY

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak akan berkompromi dan bertekad memerangi habis-habisan kegiatan ulat tiket bagi memastikan skuad Lang Merah bersih daripada sebarang gejala tidak sihat.

Sehubungan itu, KFA menjalin kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah memasang pengintip atau spy bagi memantau perjalanan persatuan berkenaan termasuk penjualan tiket perlawanan.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata, pihaknya tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit serta akan mengambil tindakan tegas jika terbukti mereka melakukannya.

“Saya ada mendengar cakap-cakap begini (mengenai ulat tiket) tapi sejak menerajui KFA, kami sendiri sudah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya perkara sedemikian.

“KFA sentiasa memantau penjualan tiket serta melakukan audit, malah sudah melantik SPRM dan PDRM untuk mengawasi sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Kami juga ada memasang spy untuk meninjau dan memberi maklumat kepada KFA. Setakat ini, semuanya berjalan baik, tidak tahulah jika berlaku tanpa pengetahuan saya.

“Tapi sekiranya terbukti perkara ini berlaku, kami tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas dengan menyingkirkan mereka.

“Pada masa sama, kami akan mengetatkan lagi sistem jualan tiket serta akan menggunakan kaedah jualan secara online (atas talian) sepenuhnya tidak lama lagi ,” jelasnya.

Justeru, Asmirul mengalu-alukan penyokong yang mempunyai bukti mengenai kegiatan ulat tiket agar tampil memberi maklumat kepada KFA.

“Saya berharap mereka yang mempunyai bukti agar bertemu pengurusan KFA atau saya sendiri dan kami akan siasat dakwaan itu,” katanya.

Rabu lalu, Sukan Sinar mendedahkan mengenai modus operandi ulat tiket yang berselindung di sebalik nama kelab penyokong bagi mendapatkan bekalan tiket sebelum dijual di pasaran gelap.

Pengasas Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim, yang membuat pendedahan itu berkata, kegiatan berkenaan dikesan semasa aksi final Piala Malaysia 2016 antara Kedah dengan Selangor.

Zulkifli melahirkan kebimbangan kemungkinan aktiviti itu masih berlaku memandangkan kelab serta individu yang pernah terbabit dengan kegiatan berkenaan masih aktif bersama KFA.

Apatah lagi Kedah kini berada pada prestasi terbaik dan melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA yang mana ia di dilihat sebagai ‘lubuk’ untuk ulat tiket mengaut keuntungan atas angin.

Komen anda