Khalid Ali: FAM kena ada garis panduan

71

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran melepaskan pemain skuad Bawah 18 (B-18) negara untuk bermain dalam saingan Liga Super bagi membolehkan mereka menimba pengalaman beraksi di pentas profesional.

Bagi bekas legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali, beliau bersetuju dengan hasrat beberapa pasukan tempatan yang dilaporkan mahu merekrut beberapa pemain muda negara.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan, FAM perlu membuat garis panduan bagi memastikan kebajikan para pemain serta peluang mereka berada dalam kesebelasan utama pasukan terjamin.

“Pasukan-pasukan tempatan atau mana-mana kelab ini perlu mematuhi garis panduan tersebut dan jika gagal, FAM boleh memanggil kembali pemain tersebut.

“Bagi saya, pemain-pemain ini perlu bermain dalam saingan Liga Super untuk meraih pengalaman dan mengembangkan bakat mereka. Namun, dalam hal ini, FAM kena tegas menyediakan garis panduan bagi memastikan mereka dapat waktu bermain bersama kelab tersebut.

“Jika pasukan atau kelab itu tidak bersetuju, maka (FAM) jangan lepaskan mereka. FAM perlu memantau mereka kerana mereka ini adalah aset negara dan pemain yang akan menyarung jersi skuad senior negara pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar semalam.

Terdahulu, FAM mengesahkan beberapa pasukan tempatan berminat mendapatkan khidmat pemain skuad B-18 negara yang mempamerkan aksi cemerlang pada Kejuaraan B-18 AFF 2019 yang berakhir di Ho Chi Minh City, Vietnam Isnin lalu.

Bagaimanapun, badan induk itu masih belum membuat sebarang keputusan dan hanya akan membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam pada itu, Khalid Ali menempelak tohmahan segelintir pihak yang mengatakan barisan pemain muda negara akan ‘rosak’ sekiranya dibiarkan bermain dalam saingan liga di negara ini.

Menurutnya, saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini sudah berbeza dan berada pada tahap tertinggi jika dibandingkan dengan liga di beberapa buah negara Asia Tenggara yang lain.

“Saya bermain untuk Selangor dulu pun masa berumur 17 tahun. Daripada situ, saya dapat bermain dan menimba pengalaman. Malah, kalau nak diikutkan liga sekarang lebih baik dan profesional berbanding dahulu.

“Tak timbul isu pemain-pemain terbabit akan rosak jika mereka dijaga dengan baik. Sebab itu, peranan dan ketegasan FAM dalam melepaskan pemain-pemain ini perlu ada,” jelasnya.

Khalid turut memberikan amaran kepada pasukan atau kelab yang mahu mendapatkan pemain-pemain terbabit supaya tidak hanya meletakkan mereka sebagai ‘pemanas’ bangku simpanan.

“Pada pengamatan saya, mereka jauh lebih baik berbanding pemain sedia ada dalam beberapa pasukan di negara ini. Cuma mereka perlu digilap lebih lagi dalam sesi latihan. Yang penting jangan peram mereka,” katanya.

Komen anda