KHM hantar Malaysian Tigers, Malaysian Tigress berguru di Eropah

425
Foto: FB MHC

MALAYSIA bakal mengadakan Siri Jelajah Eropah sebagai persiapan terbaik bagi menghadapi kempen Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada September depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, rasional pemilihan Eropah disebabkan Malaysian Tigers akan berada di dalam balang ketiga berdasarkan kedudukan ranking dunia.

“Pada sesi undian bagi perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik nanti, Malaysia akan bertemu dengan salah satu pasukan yang berada di dalam balang kedua.

“Kemungkinan besar, balang kedua tersebut akan membariskan pasukan seperti England, Sepanyol, Kanada, New Zealand dan juga India. Jadi rasionalnya saya menghantar pasukan ke Eropah adalah untuk memberikan mereka peluang bertemu dengan pasukan-pasukan tersebut.

“Tempoh empat bulan akan datang adalah tempoh yang sangat penting untuk skuad lelaki negara, jadi dengan pasukan mana mereka akan menjalankan aksi persahabatan atau sertai kejohanan adalah sangat penting,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Pada masa sama, Subahan memaklumkan Malaysian Tigress kendalian Muhammad Dharmaraj Abdullah juga akan menyertai jelajah berkenaan sebagai persiapan menghadapi Siri Final FIH Banbridge Ireland 2019 pada 8 hingga 16 Jun depan yang turut menawarkan dua tiket Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Dharmaraj berkata, Siri Jelajah Eropah berkenaan akan dijadikan pentas pemanas badan terakhir sebelum skuad wanita negara berlepas ke Ireland.

“Skuad negara akan memulakan aksi persahabatan dengan mengharungi empat perlawanan di Rom, Itali dengan dua perlawanan bertemu Itali dan dua aksi lagi dengan Sepanyol,” katanya.

Komen anda