Kim Swee tagih semangat, sokongan penyokong

451
PENGENDALI skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee mengharapkan sokongan padu penyokong Malaysia menjelang aksi pertama menentang Filipina pada pusingan Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, di Stadium Shah Alam malam esok.
Baginya, sokongan penyokong yang merupakan pemain ke 12 dalam setiap pasukan akan menaikkan semangat pemain yang berjuang memburu kemenangan di atas padang.
“Setahu saya apabila pasukan B23 bermain, kita tahu penyokong akan hadir, sama jugak esok dimana kita perlukan para penyokong hadir yang secara tidak langsung memberi motivasi kepada pemain.
“Ini amat penting bukan sahaja aksi menentang Filipina tetapi menentang Laos dan China,” jelasnya pada sidang media, hari ini.
Aura penyokong nyata memberi impak terutamanya melihat suasana lenggang pada kejohanan Piala AirMarine 2019 yang membabitkan perlawanan Malaysia menentang Singapura malam tadi yang berkesudahan dengan kemenangan memihak pasukan negara jiran.
Ketidakhadiran penyokong pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu susulan pendirian Ultras Malaya yang memboikot perlawanan tersebut.
Mengulas aksi pertama dalam Kumpulan J malam esok, Kim Swee menuntut pemainnya agar tidak memandang rendah keupayaan lawan yang disifatkan berbeza dari sebelum ini.
“Filipina dan Laos saya lihat mereka ada perubahan, kami tidak boleh pandang mudah saingan lawan, jika dilihat tahun ini juga Filipina menjadi tuan rumah Sukan Sea, jadi kami perlu bersedia dan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata penuh dalam dua perlawanan awal,” ujarnya.
Mengenai pengguguran empat pemain Kogileswaran Raj (Pahang), Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC) & Ariusdius Jais (Sabah), Kim Swee mengakui ia keputusan yang sukar.
“Satu keputusan yang sukar selepas lama bersama pasukan ke Vitenam, Bangkok dan Kemboja sebelum ini, bagi Kogi pula dia mengalami masalah kecergasan manakala tiga lagi pemain lain saya lihat posisi yang mereka mampu diisi pemain yang lain sekiranya berlaku kecederaan mahu pun masalah,” katanya.
Skuad bimbingan Kim Swee bakal memulakan aksi pertama dalam Kumpulan J menentang Filipina malam esok sebelum Laos selang dua hari selepas itu  dan aksi terakhir menentang China Selasa ini dengan semua perlawanan berlansung di Stadium Shah Alam.
Senarai barisan pemain B-23 negara:

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Safawi Rasid (kapten), Mohamad Hariz Kamarudin (JDT), Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias, Damien Lim Chien Khai (Kelantan).

R. Dinesh, Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhamad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri  Mohd Nasir, Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).

Evan Wensley Wenceslaus (Sabah), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama), K. Thivandaran (PJ City FC), Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC), Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC II) dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor).

Komen anda