Kisona sasar gelaran hatrik pada Siri Antarabangsa Malaysia 2019 

78
Foto: Stadium Astro

PERSEORANGAN wanita negara, S Kisona mahu melakar kemenangan hatrik pada Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 yang berlangsung di Arena Badminton Perak di sini, mulai hari ini.

Kisona, 21, berkata biarpun beliau baru sembuh selepas dibelenggu kecederaan pergelangan kaki kiri sejak hujung tahun lalu, namun yakin mampu mengekalkan momentum dan meraih kemenangan pada kejohanan tersebut.

“Sebenarnya agak susah, kerana saya akan bertemu ramai pemain berpengalaman dan lebih mencabar, tetapi saya perlu memastikan saya konsisten di setiap perlawanan.

“Pada perlawanan hari ini pun saya belum berpuas hati dan saya perlu kekal fokus, sehingga layak ke separuh akhir dan menjadi juara,” katanya di sini hari ini.

Kisona yang merupakan johan dua tahun berturut-turut kategori perseorangan wanita pada kejohanan itu pada 2017 di Putrajaya dan tahun lalu di Pulau Pinang, hari ini  dengan mudah menewaskan pemain Thailand, Saranporn Pornpattanamongkol, 21-8, 21-4.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven mudah mengenepikan cabaran Huang Chao untuk mara ke pusingan kedua, pada kejohanan tersebut, esok.

Joo Ven yang tekad memperbaiki prestasi selepas terkandas di pusingan suku akhir Terbuka Australia, Sabtu lalu hanya memerlukan 31 minit untuk menewaskan lawannya dari Singapura 21-17, 21-18.

“Pada permulaan perlawanan tadi saya sedikit gementar, memandangkan lawan saya adalah pemain berpengalaman. Tapi saya berjaya atasi perasaan gementar itu,” katanya.

Ditanya mengenai sasarannya untuk kejohanan kali ini, pemain berumur 24 tahun itu berkata beliau akan melakukan yang terbaik.

“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri, tetapi saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Komen anda