Klopp tak cemburu pesaing lain berbelanja besar

180

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak cemburu dengan beberapa pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang berbelanja besar mendapatkan pemain baharu bagi saingan liga musim depan.

Menurut Klopp, The Reds tidak perlu mengikut jejak pasukan lain dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memperkemaskan The Reds dengan barisan pemain sedia ada.

“Tahun ini bukanlah tahun penamat untuk Liverpool. Tahun depan akan ada lagi jendela perpindahan. Pasukan sedia ada sekarang sudah bagus dan kami telah melabur banyak. Sekarang tiba masanya untuk kami bekerja dengan pelaburan tersebut.

“Saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai tindakan pasukan lain. Saya tidak tahu bagaimana mereka melakukannya. Kami perlu membayar bil. Semua perlu melakukannya dan begitu juga kami,” katanya.

Setakat ini, Liverpool hanya menandatangani pemain pertahanan berusia 17 tahun, Sepp Van Den Berg – situasi berbeza dengan pasukan lain yang melabur mendapatkan beberapa pemain yang diyakini mampu memberikan impak buat kelab masing-masing.

Manchester City telah mendapatkan Rodri dari Atletico Madrid dengan nilai RM326 juta manakala Manchester United pula membeli Aaron Wan Bissaka dan Daniel James selain memburu beberapa pemain bintang.

Arsenal sah mendapatkan khidmat Dani Ceballos dari Real Madrid secara pinjaman dan finalis Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspur pula mencipta rekod perpindahan kelab dengan mendapatkan khidmat Tanguy Ndombele selain bintang muda Juventus, Paulo Dybala juga berada dalam radar pasukan itu.

Menurut pengendali kelahiran Jerman itu, Liverpool bukan berada dalam ‘taman fantasi’ yang membolehkan beliau mudah mendapatkan pemain yang diingini.“Liverpool tidak berada dalam taman fantasi yang anda boleh dapat apa sahaja yang dimahukan.

“Hanya Real, Barcelona, City dan Paris Saint Germain yang mampu melakukannya. Anda tidak boleh membandingkan status kewangan mereka dengan kami,” katanya.

Komen anda