Komitmen tinggi julang Singa Utara

227

KETUA Jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahab memuji kesungguhan yang dipamerkan barisan pemainnya selepas meraih kemenangan bergaya 3-0 ketika turun bertemu UiTM FC dalam saingan Liga Premier di Stadium UiTM, kelmarin.

Menurutnya, pemain Singa Utara telah menunjukkan peningkatan prestasi membanggakan berbanding aksi pertama tempoh hari dan kemenangan pertama di gelanggang lawan itu membuktikan apa yang direncanakan berjaya direalisasikan dengan baik.

“Kita memiliki pemain yang mempunyai sikap dan karakter yang baik di tengah padang dan ia turut menyumbangkan kepada kejayaan pasukan pada malam ini (kelmarin).

“Selain itu, kita sememangnya mahukan peningkatan dalam satu-satu perlawanan dan kemenangan ini memberikan petanda cukup positif buat pasukan untuk meneruskan saingan pada aksi seterusnya nanti,” jelasnya.

Pada perlawanan itu, Mohd Khyril Muhymeen Zambri meledakkan dua gol sebelum awang import, Kevin Osei melengkapkan kemenangan bergaya buat Singa Utara untuk mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Manzoor Azwira turut menghamburkan pujian buat Mohd Khyril yang hampir mencipta hatrik pada perlawanan itu dan menyifatkan ia adalah persembahan terbaik daripada bekas pemain kebangsaan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui tonggak importnya masih belum mencapai keseraian bersama pasukan sebagaimana yang diinginkan dan hanya mempertaruhkan Masaki Watanabe serta Osei pada perlawanan itu.

“Kita baru mengharungi dua perlawanan dan mereka (awang import) masih belum mencapai tahap yang diinginkan, bagaimanapun saya yakin mereka akan membuktikan kemampuan masing-masing dalam aksi seterusnya nanti.

“Jadi saya harap pemain dapat mengekalkan momentum terbaik ini menjelang aksi menentang JDT II nanti,” katanya.

Komen anda