Kontrak Liga-M dalam fasa akhir meterai perjanjian

172
KEVIN

PASUKAN bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka membayar geran tahunan dalam tempoh terdekat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, selepas penamatan kontrak bersama Telekom Malaysia Bhd (TM), MFL kini berada dalam fasa rundingan terakhir bagi menandatangani kontrak penajaan baharu bersama beberapa entiti demi kelangsungan pasukan bertanding dalam Liga M.

 

Katanya, MFL menjangkakan segala urusan berkaitan kontrak penajaan baharu itu dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira empat minggu sebelum menyalurkan geran tahunan kepada setiap pasukan.

 

“Sebelum ini proses rundingan adalah dalam tahap tunjuk minat tetapi sekarang kita telah memasuki fasa rundingan serius di mana ia mungkin boleh ditandatangani dan saya berharap dalam masa empat minggu akan datang semua kontrak dapat ditandatangani.

 

“MFL komited dalam mencari pengganti yang akan lebih menyokong kita untuk jangka masa panjang. Kita turut berjumpa dengan pasukan-pasukan untuk menerangkan status terkini berkaitan rundingan,” katanya ketika ditemui pada majlis undian pusingan suku akhir Piala FA di sini, semalam.

 

Menurut Kevin, sehingga kini jumlah geran tahunan kekal RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Premier, namun nilai itu mungkin berubah bergantung kepada jumlah penajaan diterima.

 

“Sasaran masih sama, kita cuba mendapatkan jumlah sama macam kita pernah lakukan dulu tetapi semuanya bergantung kepada kontrak-kontrak yang kita boleh tandatangani nanti,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan setiap pasukan perlu mempunyai perancangan kewangan jangka masa panjang untuk mengelakkan daripada berdepan masalah kewangan.

 

Sebagai rekod, MFL sebelum ini menandatangani perjanjian selama lapan tahun bermula Januari 2017 dengan jumlah difahamkan sekitar RM480 juta untuk menguruskan Liga M.

Komen anda