Koscielny dedah sebab tinggalkan Arsenal

155

BEKAS pertahanan Arsenal,Laurent Koscielny mendedahkan punca dirinya mengambil keputusan untuk berpindah dari kelab itu ke pasukan Liga Perancis, Bordeaux.

Menurutnya, tindakannya itu bukan disebabkan masalah dalaman antaranya dengan pengurusan kelab sebaliknya menegasakan sudah tiba masanya untuk dia pulang bermain di negara sendiri.

“Selepas sembilan tahun bersama Arsenal saya mengambil keputusan untuk berhijrah. Saya menghabiskan tahun yang menggembirakan disini dan banyak yang saya pelajari.

“Pengalaman ini yang membuatkan saya menjadi pemain yang dikenali ketika ini.Keputusan saya untuk berhijrah ini telah dibincangkan beberapa bulan lalu bersama kelab, rakan sepasukan dan jurulatih.

“Perpindahan ini juga saya anggap sebagai batu loncatan bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga sebagai seorang ketua keluarga,” katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini dilaporkan tidak menyertai perlawanan pramusim bersama Arsenal di Amerika Syarikat sekali gus menimbulkan spekulasi dia mempunyai masalah dengan pengendali pasukan Unai Emery.

Keputusan Koscielny untuk berpindah itu juga mengundang kemarahan peminat The Gunners yang menyifatkan pemain pertahanan itu mementingkan diri sendiri.

“Saya harap anda semua memahaminya dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Arsenal. Saya menghargai setiap sokongan yang anda berikan tetapi sudah tiba masanya saya berhijrah,” katanya.

Koscielny menyertai Arsenal pada 2010 dan membuat 353 penampilan dalam semua kejohanan buat kelab itu.

Komen anda