Kritikan tidak lunturkan semangat Akram

55
Akram (kanan) bersedia memberikan aksi terbaik seandainya diturunkan beraksi menentang Indonesia, malam esok.

PEMAIN tengah skuad Harimau Malaya, Muhammad Akram Mahinan menganggap kritikan demi kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya tidak langsung mematahkan semangatnya menjelang aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, malam esok.

Meskipun kata-kata negatif tersebut datang dari penyokong tanah air sendiri, tonggak PKNS FC berusia 26 tahun itu tetap bermotivasi tinggi dan komited, untuk membantu pasukan meraih tiga mata di Stadium Gelora Bung Karno, jika diturunkan.

Jekas Akram, dia akan cuba memenuhi tuntutan taktikal permainan, oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan tidak mengambil kisah mengenai kritikan, setiap kali turun beraksi menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Gangguan (kritikan) dari luar itu semua saya sudah biasa hadapi…saya cuma kena fokus permainan saya dan perlu berusaha untuk sumbang sesuatu buat pasukan. Saya sentiasa bersedia dan bila-bila masa jika terpilih, saya akan bagi sehabis baik.

“Paling penting saya cuma fikirkan tiga mata untuk bawa balik ke Malaysia,” tegasnya.

Jika diturunkan pada perlawanan Khamis ini, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menikmati pertembungan penuh tradisi dan bersejarah, antara Malaysia dan Indonesia.

Mengulas tekanan yang bakal ditempuhi dia dan rakan sepasukan mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi perasaan itu.

“Kami sudah sedia dari segi fizikal dan mental untuk berdepan Indonesia. Gementar itu memang ada saya tak nafikan.

“Tetapi kami cuba alihkan perasaan gementar itu kepada keterujaan, sebab kami mahu raih keputusan positif di sini,” tambah beliau.

Skuad negara tumpas 0-3 dalam aksi persahabatan dan pertemuan terakhir Harimau Malaya menentang skuad Garuda di Stadium Manahan Solo, Indonesia pada September 2016.

Komen anda