KRW sudah bersedia jadi ‘pelangsai’ hutang Kafa

2111
FAZLI

Oleh: MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

KOTA BHARU – Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd memberi komitmen tinggi akan menyelesaikan hutang lapuk yang membebani Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), dalam  musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fazli Mohammad berkata, kesemua hutang itu akan diselesaikan menerusi penstrukturan semula kewangan dirangka syarikat berkenaan selaku entiti yang bertanggungjawab menguruskan skuad Liga Perdana Kelantan.

“Langkah awal bermula dengan pembayaran gaji, kita tak ada tunggakan gaji (semasa) kerana ia dibayar mengikut jadual. Kedua, kita menstrukturkan semula hutang yang agak banyak itu bagi memudahkan membuat bayaran nanti.

“Hutang (tunggakan gaji) ini tak sama, ada yang besar….ada yang kecil. Bayangkan berjuta-juta ringgit sebab itu kita perlu strukturkan semula kewangan dan Insya-ALLAH dalam musim ini kita dapat selesaikan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau mendedahkan, Kafa menanggung hutang terkumpul cukup tinggi iaitu sekitar RM3 hingga RM4 juta melibatkan tunggakan gaji musim 2014, 2015, 2016 dan tahun lalu.

“Saya bukan nak salahkan mana-mana pihak tetapi saya harus beritahu itulah jumlah sebenar hutang sejak tahun 2014, kecuali 2017 sahaja tiada hutang,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebagai permulaan pihaknya telah melunaskan tunggakan hutang membabitkan beberapa bekas pemain import skuad pantai timur itu.

“Yang (pemain import) lama kita dah selesaikan, yang (pemain) lain-lain akan mengikut jadual penstrukturan semula kita buat ketika ini.

“Kita sudah hubungi bekas pemain yang telah dipersetujui dan kita akan mengikut perjanjian dibuat untuk melangsaikan hutang mereka,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan pernah dikenakan pemotongan mata selain Perlis, T-Team (kini Terengganu FC II) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah gagal melengkapkan dokumen berhubung bayaran tunggakan gaji, pada musim 2017.

Tamat

Komen anda