Kuala Lumpur bergaya ke separuh akhir

84

PASUKAN Kuala Lumpur muncul pasukan terakhir mengisi slot ke separuh akhir Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara TNB 2019 selepas menewaskan Sabah 7-2 hari ini.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dijaringkan oleh Mohd Raid Mohd Nasir (minit 2, 11, 16), Musakkir Abdullah (minit11 dan 49) dan Zulhanafi Mohd Aidin (minit 42 dan 57).

Manakala dua gol pasukan Sabah dijaringkan oleh Muhd Azwan Ramlan pada minit ke 20 dan 45.

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Garmail Singh berkata, meskipun berjaya melangkah ke separuh akhir, beliau menggesa barisan pemainnya supaya mempamer aksi lebih berhati-hati di peringkat itu kerana ia dijangka lebih sengit dan mencabar.

“Kami akan bertemu dengan juara Kumpulan B, Selangor pada peringkat separuh akhir. Tahun ini mereka berjaya mengekalkan momentum kemenangan tanpa kalah dengan jumlah jaringan yang sangat besar untuk setiap perlawanan.

“Jadi pasukan kami perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang rendah cabaran Selangor meskipun tahun ini mereka sangat menyerlah.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana kami berjaya ke pusingan seterusnya selepas berhempas pulas dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Selangor yang juga pendatang baru liga dilihat bertuah kerana berjaya mengekalkan momentum kemenangan pada setiap perlawanan.

Kapten pasukan Selangor, Mohd Faizal Reza Mohd Nor berharap rakan sepasukannya dapat meneruskan misi untuk menjulang piala.

Mohd Faizal Reza mengakui tidak menjangkakan Selangor mampu menghuni tangga teratas kumpulan B dengan perbezaan jumlah gol yang besar berbanding finalis tahun lalu, Bukit Aman.

“Sebagai pendatang baharu, semestinya pencapaian ini amat baik walaupun kami bukanlah pasukan pilihan di tambah beberapa pemain penting tidak dapat beraksi atas faktor tertentu.

“Namun saya berharap kami dapat mengekalkan momentum kemenangan sehingga ke perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur,” katanya.

Pada satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan juara tahun lalu, PULAPOL akan menentang musuh tradisi, Bukit Aman.

Komen anda