Kuala Lumpur tuan rumah edisi sulung eRacing Grand Prix SEA

189
Alex Yoong (berdiri) menunjukkan demonstrasi perlumbaan kereta virtual kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (duduk) sewaktu Majlis Pelancaran eRacing Grand Prix SEA di Sunway Velocity Mall sebentar tadi.

KUALA Lumpur akan menjadi tuan rumah bagi edisi sulung e-Racing Grand Prix SEA pada Jun ini dengan sasaran untuk mengembangkan potensi pelumba yang berlumba di alam maya menjadi bintang sukan permotoran.

Kejohanan eRacing Grand Prix Hong Kong tahun lalu memberi inspirasi buat Alex Yoong, pengasas Axle Motorsport untuk memperkenalkan pertandingan ini di rantau Asia Tenggara membangunkan kejohanan eRacing dengan matlamat mentransformasikan para pelumba alam maya menjadi jagoan di litar sebenar.

“eRacing Grand Prix SEA adalah platform terbaik kepada para pelumba alam maya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi jaguh di dalam sukan permotoran,” kata Alex.

Pelumba alam maya yang bermain permainan PlayStation boleh meningkatkan kebolehan mereka untuk menjadi pelumba kereta profesional. 40 peserta teratas akan mendapat latihan daripada jurulatih pelumba profesional dalam misi menjadi pelumba kereta sebenar.

“Peningkatan ketara eSports di rantau ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk eRacing menjadi antara permainan video terbesar di dunia. Untuk rekod, eSports telah diiktiraf apabila pernah disenaraikan di dalam Sukan Asia. Saya harap permainan video akan dikenali sebagai sukan selepas ini,” tambah Alex.

Axle Motorsport juga menjadi rakan strategik bagi industri permotoran di rantau ini untuk membimbing industri eRacing daripada permainan video kepada industri sukan permotoran. Ia juga adalah satu inisiatif serantau untuk membantu para pelumba yang berbakat menjadi bintang pada masa hadapan untuk sukan permotoran.

eRacing Grand Prix SEA akan dilangsungkan di Malaysia sebelum ke Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand. Pemenang di setiap Grand Prix akan dilatih dan mendapat tempat bagi Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai medan persiapan untuk menjadi pelumba kereta profesional.

Komen anda