Lagi, lagi CR7..! Ronaldo selamatkan maruah Juventus

789
Cristiano Ronaldo muncul wira apabila menjadi penyumbang besar kepada kejayaan Juventus mara ke suku akhir Liga Juara-juara (UCL) dengan mengenepikan cabaran Atletico Madrid di Stadium Juventus awal pagi semalam.

Ini selepas Ronaldo menjaringkan hatrik, sekali gus memadam defisit dua gol yang dicipta Atletico pada aksi pertama di Wanda Metropolitano sebelum ini.

Bagi Ronaldo, apa yang dilakukan itu memadamkan kata-kata negatif ramai pihak sebelum ini yang menganggap harga 100 juta Euro yang dilaburkan Juventus ke atasnya sudah tidak relevan atas faktor usia.

Pada masa sama, beliau turut memuji mentaliti mahukan kemenangan yang ada pada setiap pemain Juventus.

“Ini satu malam yang istimewa untuk kami. Ia memang layak jadi seoerti itu. Bukan hanya disebabkan gol-gol yang terhasil, tetapi juga semangat luar biasa pasukan ini.

“Ini adalah mentaliti yang anda perlukan dalam Liga Juara-juara dan kami kini berada di landasan yang tepat.

“Ini juga menjadi sebab kenapa Juventus membeli saya. Iaitu untuk membantu pasukan di saat-saat sukar seperti ini. Atletico adalah lawan yang sukar, tetapi kami juga membuktikan bahawa kami layak untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ditanya sama ada aksi cemerlang ini, mampu membuatkan Juventus menjuarai UCL buat pertama kali dalam sejarah, Ronaldo berkata semuanya masih terlalu awal.

“Terlalu cepat untuk mengatakan tentang final. Kami perlu menghadapi satu demi satu perlawanan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Ronaldo mencipta tiga jaringan,dua gol melalui tandukan, dan satu melalui sepakan penalti.

Rekod juga menunjukkan Ronaldo cukup cemerlang dalam perlawanan itu dengan melakukan 67 sentugan, tujuh daripadanya terjadi dalam kotak penalti lawan dan berjaya melakukan lima percubaan tepat.

Komen anda