Lampard akui perlu masa baiki kelemahan The Blues

68

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard enggan mempedulikan kritikan dilemparkan kepadanya selepas The Blues diaibkan Manchester United, 0-4 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, kelmarin.

Menurutnya, terlalu awal untuk semua pihak menilai kemampuan sebenar skuad kendaliannya itu kerana beliau optimis pemainnya mampu bangkit mencipta kemenangan pada aksi seterusnya.

“Saya tidak perlu peduli apa orang nak kata termasuk pengkritik kerana mereka boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahukan.

“Dalam masa sama saya percaya kemampuan pasukan dan ini pasukan yang saya ada. Saya perlu memperbaiki kelemahan dan yakin segalanya akan baik selepas ini,” katanya.

Bekas pemain tengah Blues itu juga turut membidas kenyataan bekas pengendali Manchester United, Jose Mourinho ketika menjadi pengkritik dalam sebuah program televisyen yang menyifatkan dia tidak pandai memilih pemain untuk berada dalam kesebelasan utama.

Mourinho yang juga pernah menjadi jurulatih Lampard berkata, pemain berpengalaman seperti N’Golo Kante, Marcos Alonso dan Olivier Giroud perlu diletakkan dalam kesebelasan utama di sebalik menyenaraikan Mason Mount, Tammy Abraham dan Andreas Christensen.

“Saya tidak boleh membawa masuk pemain yang cedera dan memaksa mereka bermain, Untuk tempoh 45 hingga 60 minit kami beraksi sangat baik. Cumanya kami membuat kesilapan individu dan membiarkan mereka menjaringkan empat gol daripada lima percubaan.

“Banyak peluang kami yang terkena palang dan diselamatkan penjaga gol. Ia bukan bermakna pemain yang saya letakkan dalam kesebelasan utama tidak bagus,” katanya.

Komen anda