Lang Merah belum kibar bendera putih

183
60576493_2502800979752364_7375246187751800832_o

KEKALAHAN 1-3 di tangan Selangor malam kelmarin yang menyaksikan kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super bertukar tangan bukanlah penamat buat Kedah.

Sebaliknya, skuad Lang Merah itu tekad bangkit pada perlawanan menentang Melaka United di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, perjuangan memburu kejuaraan masih belum berakhir dan para pemainnya akan bangkit pada aksi ke-14 liga di laman mereka sendiri nanti.

"Ini belum berakhir dan kami akan terus memberikan saingan, pemain akan membuktikannya pada perlawanan akan datang, saya yakin dengan pemain, apa yang perlu kami lakukan ketika ini adalah proses pemulihan dan bersedia berdepan Melaka United.

"Dengan jadual yang padat serta bulan Ramadan, kami perlu menyusun kembali pergerakan dan saya tetap yakin pemain akan bangkit di Darul Aman nanti," ujarnya.

Mengulas aksi yang ditampilkan Kedah malam kelmarin, Aidil Sharin tetap memuji semangat juang barisan pemainnya terutamanya pada babak kedua.

"Sebelum perlawanan saya telah ingatkan pemain saingan sengit bakal dijelmakan Selangor, kami tidak beraksi baik babak pertama, namun pada separuh masa kedua pemain bangkit dan memperkemaskan corak permainan.

"Walaupun ketinggalan, pemain terus berusaha memburu gol, tiang dan palang menafikan impian pasukan untuk membawa pulang mata. Kami kurang bernasib baik, apapun saya bangga dengan prestasi pemain serta bertanggungjawab penuh atas keputusan malam ini (kelmarin)," jelasnya.

Kekalahan itu meletakkan Kedah di tangga keempat liga selepas mengumpul 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan empat kekalahan manakala Selangor dibezakan dua mata untuk merampas kedudukan tangga ketiga.

Komen anda