Piala FA: Lang Merah rai kejuaraan bersama penyokong Hijau Kuning esok

86
FOTO: ROSLI TALIB

ROSLINDA HASHIM

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) bakal meraikan kejayaan skuad Lang Merah selepas membawa pulang Piala FA ke Kedah pada satu majlis khas esok.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rakyat Kedah yang ingin turut serta meraikan kejayaan pemain boleh hadir di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar esok.

Menurutnya, majlis itu diadakan bagi memberi peluang kepada penyokong dan rakyat Kedah meraikan kejayaan Lang Merah bersama pemain selain dapat melihat sendiri Piala FA.

“Kita jemput semua penyokong datang ke Dataran Wisma Darul Aman pada 1.00 petang, untuk beri mereka peluang melihat sendiri wira-wira kita yang berhempas pulas memastikan kemenangan milik kita,” katanya pada sidang media hari ini.

Mukhriz berkata, ia juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penyokong Kedah yang setia memberi sokongan sehingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

“Penyokong mainkan peranan besar di sebalik kejayaan pemain kita, sehingga Kedah mucul juara Piala FA, ini sebagai tanda kita hargai mereka,” katanya.

Ketika ditanya imbuhan yang bakal menanti pasukan susulan kejayaan itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah masih berahsia dan menyifatkan ia urusan antara KFA dan pemain.

“Ada imbuhan disediakan untuk mereka, ia tidaklah terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil,” katanya, tanpa mengulas secara terperinci.

Menurutnya, isu habuan bukan keutamaan pemain, sebaliknya usaha membawa pulang Piala FA kepada rakyat Kedah lebih diutamakan.

“Pemain sendiri beritahu, duit bukan menjadi penentu mereka untuk beraksi cemerlang atas padang tetapi atas sokongan rakyat Kedah terutama yang sanggup turun ke stadium. Pemain amat hargai penyokong dan kerana itulah mereka cuba habis-habisan menjaringkan gol,” katanya.

Mukhriz turut mengakui Perak antara pasukan hebat, namun nasib tidak menyebelahi mereka memandangkan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan beraksi cemerlang.

Kedah muncul juara Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 menerusi jaringan pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 pada perlawanan malam tadi.

Kejayaan itu adalah yang kelima buat Kedah, kali terakhir Kedah membawa pulang piala adalah dua tahun lalu selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

Terdahulu, Mukhriz mengadakan majlis perjumpaan bersama usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah dekat sini, hari ini.

Komen anda