Lang Merah tagih sokongan padu penyokong di Darul Aman

263
FOTO: AHMAD ZAKI OSMAN

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

Siaran langsung di kaca televisyen membabitkan aksi Kedah di laman sendiri diharap tidak melunturkan semangat penyokong Lang Merah bagi memenuhi Stadium Darul Aman, Alor Setar pada pertemuan menentang PKNS FC Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sokongan padu para penyokong yang memenuhi stadium mampu menaikkan lagi semangat dan moral pasukan memburu tiga mata penting seterusnya kekal sebagai pendahulu Liga Super.

Menurutnya, beliau akui kehadiran penyokong pada aksi di Alor Setar ketika Kedah menang 4-0 ke atas Felda United agak sederhana walaupun Lang Merah berada pada momentum terbaik apabila belum tewas sejak empat perlawanan lalu.

“KFA sangat berharap semua penyokong akan memenuhi Stadium Darul Aman pada Sabtu ini kerana PKNS FC adalah salah satu lawan yang liat untuk ditewaskan kerana mereka juga adalah kelab yang berada pada kelompok empat pasukan teratas Liga Super setakat ini.

“Biarpun ada siaran langsung, KFA berharap kesetian penyokong tidak akan tergugat dan tetap hadir memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Lang Merah pada Sabtu ini,”katanya kepada Sukan Sinar.

Mohd Asmirul berkata, kehadiran puluhan ribu penyokong setia yang membanjiri stadium setiap kali perlawanan di laman sendiri sebenarnya turut membantu dari sudut kantung kewangan persatuan tersebut.

Jelasnya, KFA tidak ‘senang duduk’ apabila melihat kehadiran penyokong yang agak sederhana pada aksi menentang Felda United, 16 Februari lalu.

“Pembelian tiket oleh penyokong sebenarnya adalah salah satu cara buat KFA untuk menjana pendapatan yang akan digunakan untuk pengurusan persatuan dan pemain dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Tambahnya, Lang Merah kini berdepan tiga perlawanan yang sukar bermula pertemuan menentang PKNS FC diikuti Pahang di Kuantan pada 8 Mac dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Alor Setar pada 29 atau 31 Mac.

Kedah kini muncul selaku pendahulu Liga Super selepas empat perlawanan apabila berkongsi 10 mata dengan JDT, namun kedua-dua pasukan dibezakan jumlah jaringan gol.

Komen anda