Langkah kanan buat Bukit Aman dan PULAPOL

58
Ketua pasukan Bukit Aman, Mohd Khairul Naim (depan) melepasi kawalan pemain lawan.

FINALIS musim lalu, pasukan Bukit Aman bermula langkah kanan dalam saingan Piala Hoki Ketua Polis Negara – TNB 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Hoki Kangar, petang tadi.

Jaringan tunggal Bukit Aman dalam aksi tersebut dihasilkan pada minit ke-57 oleh Mohd Nazrin Nasir selepas penjaga gol Perak, Zaidi Ibrahim gagal menghalang lorongan cantik sebelum penyerang itu menampan masuk ke gawang gol.

Pengurus Bukit Aman, Mohd Rizaudden Abdullah berkata, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun menampilkan aksi ‘lambat panas’ dalam perlawanan sulung.

“Sebenarnya pemain saya masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan padang selain berdepan kesukaran beraksi di bawah cuaca yang panas terik.

“Kami banyak melepaskan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol melalui beberapa pukulan sudut penalti. Jadi fokus kita selepas ini ingin menguatkan lagi serangan dan ketajaman pukulan sudut penalti,” katanya.

Terdahulu, Bukit Aman bermula baik apabila mendominasi perlawanan dengan peluang pertama hadir menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ke-10 tetapi gagal disempurnakan pemainnya.

Perak terus ditekan oleh jentera serangan Bukit Aman pada suku kedua, tetapi sekali lagi mereka mensia-siakan tiga pukulan sudut penalti yang diperoleh.

Jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya tiba pada minit ke-50 selepas Perak ketika itu terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua pemainnya – Mahyudin Ismail dan Badrul Amin Jusoh – dilayangkan kad kuning.

Sementara itu, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) yang juga pasukan pilihan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah dalam aksi Kumpulan A.

Dua gol Pulapol dijaringkan oleh Azrul Shah Ramli menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan Mohd Nasir Zainol Abidin minit ke-19.

Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Kuala Lumpur dan Sabah terpaksa berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan itu terikat 2-2.

Dengan kemenangan itu bermakna, PULAPOL dan Bukit Aman kini menerajui Kumpulan A dan B bagi saingan Liga Perdana.

Komen anda