Piala Sanix: Skuad B-18 mula dua aksi langkah sumbang

255

SKUAD B-18 negara mengakhiri hari pertama saingan Piala Sanix 2019 di Global Arena, Fukuoka, Jepun langkah sumbang apabila tewas kepada Sekolah Tinggi Aomori Yamada 0-2 dan Kelab Sagantosu 0-5, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung pada sebelah pagi itu menyaksikan skuad negara gagal memberi saingan kepada juara edisi musim lalu dari Sekolah Tinggi Aomori Yamada sebelum diaibkan Kelab Sagantosu pada sebelah petangnya pula.

Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, walaupun gagal meraih kemenangan namun menyifatkan perlawanan itu mampu mematangkan pemainnya menjadi seorang pemain yang baik berdasarkan aksi berintensiti tinggi dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

“Pada perlawanan kedua, saya lihat pemain berjaya menunjukkan peningkatan kualiti dari segi permainan. Tahap permainan dan pertandingan di sini berintensiti tinggi kerana mereka yang menyertai pertandingan ini adalah pemain terbaik di Jepun bagi kategori umur 17-18 tahun dan saya lihat ada segelintir pemain kita masih belum bersedia.

“Jadi saya harap pemain dapat jadikan perlawanan ini sebagai pengalaman dan pengajaran kerana kami masih mempunyai baki permainandan jika mereka boleh menunjukkan perubahan yang positif, ianya merupakan satu perkara yang amat baik.

“Mereka kurang terdedah dengan perlawanan yang sangat ‘competitive’ sebelum ini berbanding dengan pemain Jepun di sini. Maka pentingnya bagi pemain untuk mengharungi saingan yang berintensiti tinggi seperti di sini,” jelasnya.

Untuk rekod, penyertaan pasukan negara mengharungi saingan Sanix Cup 2019 di taja sepenuhnya oleh Yakult Malaysia dan pasukan negara bakal berdepan cabaran pasukan dari Kelab Ohzu pada perlawanan ketiga esok.

Komen anda