Lavender terlalu kuat buat Spartan Kulai

1075
Noor Azli (belakang tengah) bersama pemain Lavender RC selepas perlawanan akhir Ragbi Jemputan Rangers 7s Peringkat Kebangsaan di Padang Setia Alam semalam. - foto Bernama

KELAB Ragbi Lavender dari Negeri Sembilan muncul juara Kategori Bawah 12 tahun (B-12) lelaki Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Rangers 2019 selepas mengalahkan wakil Johor, Spartan Kulai 15-10 pada aksi final di Padang Akademi Badminton Setia, di sini.

Kemenangan tersebut membolehkan Kelab Ragbi Lavender membawa pulang trofi kejohanan dan pingat manakala Spartan Kulai meraih pingat selaku naib juara yang disampaikan Penolong Pengarah Kanan Bidang Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Noor Azli Ab Rahman.

Untuk rekod, Lavender turut memenangi kategori B-10 lelaki selepas menewaskan wakil Perak, SKKB Dolphins Rugby Team, 12-0 pada aksi final, kelmarin.

Wakil Kelantan, Kota Bharu RA pula mengungguli kategori B-12 perempuan selepas mengalahkan Monsters Rugby Club dari Negeri Sembilan 1-0 pada aksi final yang turut berlangsung semalam.

Kejohanan anjuran Kelab Ragbi Rangers yang berlangsung selama dua hari itu, disertai 72 pasukan dari 10 negeri seluruh negara dengan fokus mencungkil bakat-bakat baharu B-12 dan ke bawah.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya memuji Kelab Ragbi Rangers yang berjaya menarik penyertaan ramai pasukan dari seluruh negara menyertai edisi sulung kejohanan berkenaan.

“Saya dimaklumkan yang kejohanan itu amat berjaya sekali dan sebagai Presiden saya amat berbangga dengan usaha pembangunan akar umbi ini.

“Ragbi adalah sukan yang menonjolkan pembangunan watak sebenar dan persahabatan,” katanya – Bernama

Komen anda