‘Lebih baik pilih City’

295
LEGENDA Arsenal, Ray Parlor menyarankan tonggak pertahanan Leicester City, Harry Maguire menyertai Manchester City berbanding Manchester United musim depan.
Menurut bekas tonggak pertahanan The Gunners itu, persekitaran dan atmosfera positif di Etihad secara tidak langsung mampu membantu perkembangan karier Maguire.
“Saya bukan mahu menafikan kurangnya perkembangan pemain apabila menyertai Manchester United tapi atmosfera di Old Trafford akan menjejaskan potensi diri Maguire.
“Manchester United sedang dalam keadaan prestasi yang kurang meyakinkan yang mana keadaan itu akan mempengaruhi kualiti pemain di padang,” katanya.
Tambah Parlor, ketika prestasi Maguire kini berada pada tahap terbaik, dia seharusnya memilih City bagi meningkatkan lagi kualiti permainannya.
“Dia berada pada kemuncak permainannya ketika ini. Manchester City adalah pentas domestik dan antarabangsa terbaik bagi perkembangan kariernya. Jika Maguire inginkan trofi kejuaraan dalam koleksinya, semua itu bakal ada di bawah (Pengurus City) Pep Guardiola.
“Tapi jika Manchester United jadi pilihan, ia bukan satu pilihan bijak ketika ini kerana masih banyak yang harus dilakukan Manchester United untuk kembali ke prestasi sebenar mereka,” katanya.
Sejak beberapa musim lalu, Maguire sering dikaitkan dengan United.
Selain United, dua lagi kelab Inggeris, Tottenham Hotspur dan City juga dilapor berminat mendapatkan khidmat Maguire bagi menggantikan Vincent Kompany yang mengumumkan tidak lagi bersama The Citizens musim depan.

Komen anda