Leclerc bikin Vettel tertekan

356
Pemandu sensasi Ferrari, Sebastian Vettel bakal berdepan tekanan tinggi dengan kehadiran rakan sepasukannya yang baharu, Charles Leclerc pada saingan Formula 1 (F1) musim ini.
Leclerc menggantikan tempat Kimi Raikkonen musim ini selepas hanya setahun bersama Sauber musim lalu. Vettel pula kini dikatakan terdesak untuk kembali memperbaiki prestasinya yang dilihat ‘turun naik’ musim lalu.
Vettel, juara dunia F1 empat kali juga terpaksa berpuas hati berada di tangga kedua keseluruhan selama dua musim berturut-turut (2017 dan 2018) sejak menyertai Ferrari pada 2015.
Musim lalu, Vettel terpaksa akur dengan kehebatan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton ekoran beberapa kesilapan ‘berprofil tinggi’ yang dilakukannya biarpun tampil cemerlang pada awal musim.
Ferrari kini membawa masuk Leclerc, 21, sebagai pengganti Raikkonen, juara edisi 2007 dan menggantikan ketua pasukan, Maurizio Arrivabene dengan ketua teknikal, Mattia Binotto.
Bagi juara dunia F1 2009, Jenson Button, dia meramalkan Vettel sekali lagi berdepan musim sukar kali ini sebagaimana yang dihadapi pemandu Jerman itu ketika Daniel Ricciardo menyertai Red Bull pada musim 2014.
Ketika itu, Ricciardo cemerlang menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan apabila berjaya merekodkan tiga kemenangan podium. Sebaliknya, Vettel gagal meraih podium dan sekadar berpuas hati di tempat kelima keseluruhan sebelum dia menyertai Ferrari pada musim 2015.
“Ia satu situasi berbeza buat Sebastian di Ferrari berbanding ketika dia bersama Red Bull,” kata Button kepada Sky Sports News.
“Mungkin tekanan itu lebih dirasai tahun ini. Kita akan lihat sejauh mana Sebastian dapat menangani tekanan itu nanti. Saya fikir ia akan menjadi tahun yang besar untuk Sebastian.
“ Apabila Daniel tiba ke Red Bull, Sebastian berdepan dengan kesukaran. Daniel memberikannya begitu banyak tekanan dan menenggelamkan prestasinya. Saya fikir jika Charles mampu melakukannya tahun ini, ia menjadi keputusan sukar ke mana hala tuju Sebastian seterusnya.”
Nada yang sama turut disuarakan seorang lagi bekas juara dunia F1, Nico Rosberg yang pernah bergandingan bersama Vettel.
“Jelas sekali tekanan pastinya ada. Saya pasti dia (Vettel) sudah merasai banyak tekanan terutamanya apabila anda memandu jentera Ferrari yang mana tekanannya amat tinggi kerana seluruh harapan terletak di atas bahu anda,” jelas Rosberg.

Komen anda