Leclerc cetus impak positif

131
Prinsipal pasukan Formula 1 (F1) Ferrari, Mattia Binotto mengakui gembira dengan penampilan sulung pemandu muda, Charles Leclerc yang dianggap ‘cukup kuat’ ketika bersaing pada Grand Prix (GP) Australia di Melbourne, Ahad lalu.
Leclerc yang menyertai Ferrari musim ini bagi menggantikan tempat pemandu berpengalaman, Kimi Raikkonen menampilkan prestasi baik apabila menamatkan saingan di tempat kelima di Litar Albert Park.
Binotto berkata, Leclerc sudah mula mampu membentuk keserasian dengan rakan sepasukannya yang juga bekas juara dunia, Sebastian Vettel.
“Saya amat gembira dengan apa yang telah dia (Leclerc) tampilkan sebagai satu pasukan pada perlumbaan GP Australia baru-baru ini.
“Bukan hanya sebagai pemandu, dia juga banyak membantu pasukan. Dia sudah menjalankan tangunggjawabnya dengan sebaik mungkin sekalipun dia baru menyertai pasukan ini.
“Jika kita membuat penilaian sepanjang minggu lalu, dia merupakan salah seorang pemandu yang hebat. Dia mungkin tidak begitu baik pada sesi kelayakan masa ketiga tetapi dia memandu jentera dengan baik pada sesi ujian masa pertama dan kedua.
“Secara keseluruhannya, dia mengharungi minggu yang cukup baik. Jadi saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkannya pada perlumbaan pertama,” kata Binotto.
Leclerc membuat kesilapan pada sesi kelayakan masa ketiga yang menyebabkan dia terpaksa memulakan saingan GP Australia di petak kelima.
Bagaimanapun, permulaan baik yang ditunjukkan pemandu kelahiran Monaco itu membolehkan dia memintas pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Vettel di selekoh pertama sebelum jentera dipandunya sedikit terbabas di kawasan berumput.
“Ia bukan satu perlumbaan yang hebat bagi saya dan pasukan, ia sepatutnya menjadi perlumbaan yang lebih baik.
“Namun, dari satu segi Australia merupakan perlumbaan yang agak asing bagi saya tetapi itu bukan sebabnya untuk berasa panik. Sudah tentu kami perlu bekerja lebih gigih kerana Mercedes cukup kuat.
“Apa pun saya gembira dengan prestasi jentera kerana kami semakin hampir dengan Mercedes. Kami perlu mendapatkan data yang lebih lengkap untuk memahami apa yang telah berlaku,” jelas Leclerc.
Pada saingan di Melbourne itu, Mercedes mendominasi perlumbaan pembuka tirai 2019 itu yang menyaksikan Valtteri Bottas dan Lewis Hamilton menduduki kedudukan 1-2 manakala Verstappen di tempat ketiga.

Komen anda