Leclerc tidak mahu dilabel pencabar terkuat

362

PEMANDU muda Ferrari, Charles Leclerc tidak mahu dilabel sebagai pencabar terkuat dalam pemburuan gelaran dunia Formula 1 (F1) selepas beraksi cemerlang dalam dua perlumbaan awal musim ini.

Leclerc berada di tempat kelima pada saingan pembuka tirai Grand Prix (GP) Australia sebelum terlepas peluang muncul juara di Bahrain yang menyaksikan dia menduduki tempat ketiga ekoran jenteranya mengalami masalah enjin.

“Pada perlumbaan pertama (Australia), tidak ada siapa yang melihat saya sebagai pencabar, bagaimanapun selepas perlumbaan kedua (Bahrain), semua pihak mula melihat saya.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat ramalan. Saya perlu bekerja keras selagi boleh dan melakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan.

“Saya cukup yakin, jika kami sentiasa berusaha keras, kejayaan itu akan hadir. Buat masa ini, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Selepas berakhirnya dua perlumbaan musim ini, Leclerc menduduki tempat keempat keseluruhan dan berjaya mengatasi rakan sepasukannya yang juga bekas juara dunia, Sebastian Vettel dengan kelebihan empat mata.

Pelumba kelahiran Monaco berusia 21 tahun itu kini hanya ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu daripada pasukan Mercedes, Valtteri Bottas yang mendahului rakan sepasukannya, Lewis Hamilton dengan perbezaan satu mata.

Menjelang GP China di Litar Shanghai minggu ini, Leclerc awal-awal lagi mengintai peluang untuk berada di podium utama bagi menebus kehampaannya di Bahrain.

“Saya harap keadaan jentera Ferrari akan sebaik seperti perlumbaan di Bahrain supaya saya mendapat keputusan yang kami harapkan,” jelasnya.

Sementara itu, Vettel mengakui, dia tidak begitu gembira dengan prestasinya dan jentera baharu Ferrari selepas dua perlumbaan awal musim 2019.

“Saya tidak terkejut, dia (Leclerc) lebih pantas pada perlumbaan tersebut. Kami ada strategi masing-masing dan dia berhak meraih podium,” jelasnya.

Komen anda