Lewandowski salahkan Kovac, anggap taktikal hambar punca Bayern tumbang    

822
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski menuding jari kepada jurulatih, Niko Kovac sebagai punca mereka tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara selepas tewas 1-3 di tangan Liverpool di Arena Allianz, awal pagi tadi.

Jelasnya, kekalahan itu berpunca daripada taktikal bertahan yang diterapkan Kovac pada aksi pertama 16 terbaik di Anfield bulan lalu, sekali gus menyaksikan tiada langsung wakil Jerman mara ke pusingan suku akhirLiga Juara-Juara musim ini.

“Pada perlawanan pertama, kami tidak mengambil risiko untuk bermain dengan corak menyerang dan cuba menjaringkan gol.

“Hari ini (awal pagi semalam) saya turut berfikir yang kami tidak cuba untuk bermain dengan corak menyerang dan cuba menjaringkan gol kerana kami tidak mempunyai banyak peluang. Itu masalah kami.

“Kami bermain di gelanggang sendiri tetapi tidak beraksi dengan cukup baik! Sebab itu Liverpool menewaskan kami. Saya tidak gembira, saya marah kerana kami tahu kami boleh melakukan lebih baik tetapi kami tidak berbuat demikian,” kata penyerang antarabangsa Poland itu.

Kekalahan itu boleh dianggap prestasi buruk Bayern yang sebelum ini enam kali melangkah ke separuh akhir daripada tujuh edisi terakhir Liga Juara-Juara termasuk ketika mereka menewaskan Borussia Dortmund yang ketika itu dibimbing pengendali Liverpool, Jurgen Klopp bagi menjuarai edisi 2012/13.

Walaupun masih kecewa dengan kekalahan itu, Lewandowski tetap berharap Bayern dapat melakukan sesuatu dalam saingan liga domestik, Bundesliga.

“Kami masih mempunyai Bundesliga dan perlu menempuh banyak lagi perlawanan untuk menjulang piala itu musim ini.

“Saya tahu kami di landasan terbaik mempertahankan trofi itu. Sebab itu, kami perlu melupakan apa yang sudah berlaku dan fokus kepada pemburuan piala yang masih ada,” katanya lagi.

Untuk rekod, Bayern kini berada di tangga pertama Bundesliga dengan hanya dibezakan jumlah jaringan berbanding Dortmund di tangga kedua.

Komen anda