‘Liga dah nak mula, pasukan belum ada..’ – Azidan luah perasaan

44628

 

SELEPAS selesainya isu tunggakan gaji, satu lagi masalah menimpa bekas pemain Pulau Pinang apabila dikhabarkan sehingga kini masih tergantung tanpa pasukan.

 

Pemain tengah, Azidan Sarudin ketika dihubungi mengakui dirinya dan ramai lagi pemain masih tercari-cari pasukan yang memerlukan khidmat mereka untuk saingan Liga Malaysia 2019 selepas meninggalkan skuad Harimau Kumbang.

 

Jelas tonggak berusia 32 tahun itu, kebanyakan pemain yang masih tergantung itu terdiri daripada pemain-pemain berpengalaman.

 

“Bukan sahaja saya, tapi ramai pemain berpengalaman belum ada pasukan termasuklah Faiz Subri, Arman Fareez, Alafi Mahmood, Nasriq Baharom, Mohd Lot Abu Hassan dan Faizol Hussain.

 

“Bukan kami tak cuba cari, tetapi banyak yang kami tanya semua kata pasukan dah penuh. Memang rungsing juga memikirkan nasib kami sebab musim baharu dah nak mula tak lama lagi,” katanya.

 

Mengulas lanjut faktor tiada permintaan terhadap pemain berpengalaman sepertinya dan rakan-rakan, Azidan menyifatkan ia mungkin berpunca daripada masalah kewangan yang menyaksikan banyak pasukan terpaksa ‘gulung tikar’.

 

“Kami terhimpit disebabkan banyak pasukan tutup. Pasukan baharu yang ada pula lebih cenderung guna pemain-pemain muda.

 

“Tapi kami belum putus asa kerana tahu kami masih mampu menabur bakti dalam arena bola sepak dan tetap berharap ada pasukan mahu menggunakan khidmat kami.

 

“Tidak kiralah pasukan dari Liga Super, Liga Premier mahu pun Liga FAM sekali pun, kami sedia terima asalkan mereka benar-benar serius mahukan kami untuk membangunkan pasukan mereka,” katanya lagi.

Komen anda