Liga KPM aktifkan murid bersukan

76
LIGA  Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) antara program pendorong untuk murid sekolah bergiat aktif dalam sukan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, penganjuran program seperti itu juga dapat memastikan anak-anak yang masih di peringkat persekolahan ini dipenuhi dengan aktiviti berfaedah.
“Syukur hari ini kita dapat sama-sama hadir dalam acara Piala Sumbangsih Menteri Pendidikan ini dan ini merupakan satu proses galakan kepada anak-anak yang masih belajar untuk bergiat aktif dalam sukan dan kokurikulum termasuk membentuk disiplin melalui sukan,” katanya ketika ditemui pada perlawanan Piala Sumbangsih Menteri Pendidikan di sini, semalam.
Beliau berharap aktiviti seperti ini akan terus mendapat sokongan dan galakan daripada semua pihak dari semasa ke semasa.
Piala Sumbangsih Menteri Pendidikan di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Za’ba di sini, menyaksikan perlawanan antara tuan rumah dan SSN SMK Putera, Kelantan.
Piala Sumbangsih Menteri Pendidikan itu merupakan ‘sepak mula’ bagi Piala Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan berlangsung dari 20 April ini hingga September depan.
Ia melibatkan dua kategori iaitu Bawah 14 tahun sebanyak 178 perlawanan dan Bawah 17 sebanyak 203 perlawanan.

Komen anda