Liga-M tetap miliki tarikan tersendiri

1656
FOTO: TRWFC

PERTAHANAN import Kelantan, Cassio Franscisco de Jesus mengakui saingan Liga Malaysia (Liga-M) masih antara liga terbaik di rantau ini walaupun dipalit beberapa kontroversi termasuk tunggakan gaji pemain.

Menurut bek tengah skuad The Red Warriors (TRW) itu, perkembangan Liga-M dapat dilihat dengan peningkatan prestasi pemain tempatan serta kehadiran pemain import berkualiti musim ini.

“Saya fikir tahun ini lagi bagus, ramai pemain import yang datang ke Malaysia bagus-bagus. Kita lihat saja JDT (Johor Darul Ta’zim), mereka membawa masuk pemain dari Brazil, Diogo Luis Santo yang sebelum ini beraksi dengan kelab besar Buriram di Thailand.

“Selain Malaysia, saya hanya bermain di Liga Indonesia selepas bersama beberapa kelab di Brazil. Pemain-pemain di sini lebih bagus, pengurusan juga bagus kerana itu pemain di sana (Indonesia) mahu datang ke sini. Mungkin masih ada lagi beberapa kekurangan tapi kita dapat lihat ada usaha untuk mengatasinya.

“Musim ini saya lihat semua pasukan membuat persiapan yang rapi, tidak kira Liga Super atau Liga Premier. Saya harap Liga M akan menjadi lagi bagus dan terus meningkat daripada tahun lalu,” katanya.

Cassio, pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil menyertai Kelantan musim lalu namun gagal membantu TRW kekal di Liga Super.

Begitupun dia optimis bahawa tempat sebenar Kelantan adalah di Liga Super dan bersedia membantu pasukan juara 2011 dan 2012 itu kembali ke saingan elit musim depan.

“Kelantan pasukan besar, kami seharusnya bermain di Liga Super bukan Liga Premier, jadi kami kena bekerja keras untuk kembali ke Liga Super 2020,” katanya.

FOTO: TRWFC

Komen anda