Liga M3 ‘buka kedai’

5164
 Tatkala tumpuan lebih terarah kepada saingan Liga Super dan Liga Premier, tanpa disedari pentas Liga M3 yang julung-julung kali diadakan tahun ini bakal memberi satu rencah yang menarik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pentas M3 bakal membuka tirainya Sabtu ini dengan menampilkan keseluruhan 26 perlawanan yang pasti mampu mewarnai arena bola sepak Malaysia.

Dengan format satu liga,14 pasukan terlibat pasti mempersiapkan jentera masing-masing pada saingan yang dijangka lebih meriah dan kompetitif jika dibandingkan dengan format Liga FAM atau Piala FAM tahun sebelum ini.

Antara pasukan tumpuan ialah Kuching FA yang mendapat sentuhan pemain berpengalaman, Joseph Kalang Tie. SAMB FC turut memantapkan pasukan setelah menyunting beberapa bekas pemain Perlis seperti Fakhrullah Rosli dan Jasmir Mehat.

Persiapan pasukan lain tidak kurang hebatnya dengan Kelantan United FC mempertaruhkan sentuhan Zahasmi Ismail selaku ketua jurulatih dan membariskan majoriti pemain berpengalaman seperti pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM 2018, Khairul Ramadhan dan bekas pemain MOF FC, Famirul Asyraf.

Kehadiran pasukan kurang dikenali, Batu 2 FC turut menjadi sebutan setelah berjaya mendapatkan khidmat beberapa orang bekas pemain kebangsaan seperti Manaf Mamat, Azidan Sarudin dan terbaharu, bekas penjaga gol Melaka United, Zamir Selamat.

Tidak hanya itu, skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria ini turut diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas pemain import Kelantan dan Kuantan FA, Seydi L’Imam dan L’jubo Baranin.

Cabaran M3 dihangatkan lagi dengan kehadiran juara Selangor Champion League musim lalu, Puchong Fuerza yang tidak boleh dipandang ringan dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti Alafi Mahmud dan Mohd Lot Abu Hassan.

Tun Razak FC kendalian Azman Adnan juga mampu menyerlah di pentas M3 meskipun baru sahaja dibentuk menjelang kelayakan Piala FA tempoh hari. Pengalaman pemain senior seperti Faizol Hussain dijangka mampu membawa cabaran skuad yang digelar pasukan ‘Budak Flat’ itu

Selain itu,persiapan Banggol Tokku FC dari Terengganu juga tidak kurang hebatnya dengan menyunting khidmat pemain berpengalaman,Nor Fazly Alias bagi memantapkan benteng pertahanan mereka.

Penjara FC dan Armed Forces FC (dahulu ATM) antara pasukan yang berpengalaman luas dalam saingan peringkat ketiga dalam piramid bolasepak Malaysia ini. Namun cabaran pasukan lain seperti Protap FC, Glory United, DDM FC, Ultimate FC dan JBFA juga perlu diberi perhatian.

Diharapkan saingan M3 yang julung kali diadakan ini lebih berdaya saing dan yang penting terhindar daripada masalah pembayaran gaji dan sebagainya. Ia juga diharap dapat memberikan satu impak positif kepada perkembangan bola sepak negara.

Komen anda