Liga M3: KUFC belanja ikut kemampuan

300
Che Abdullah (lima,kanan) dan pengurus pasukan, Datuk Zamri Ismail (empat kanan) memperkenalkan lima muka baharu yang menyertai KUFC, baru-baru ini.

RIFQIE RUZAIEN

BELANJA mengikut kemampuan menjadi elemen utama bagi wakil tunggal Kelantan iaitu Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) dalam mengharungi saingan panjang Liga M3 musim ini.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya mengekalkan prinsip berbelanja secara berhemah bagi memastikan kelangsungan kelab itu agar dapat terus bertahan sehingga ke penghujung musim.

“Kita sedar bola sepak ini memerlukan sumber kewangan yang besar dan kalau ikut nafsu memang kita nak jadi seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) tetapi kita kena ukur baju di badan sendiri.

“Maknanya kita tidak berbelanja besar walaupun dibenarkan berbuat demikian, (kerana) kita sering dengar macam-macam pasukan berbelanja mewah tapi akhirnya tak boleh bayar gaji,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Che Abdullah memberitahu, beliau berterima kasih kepada pemain dan pegawai kerana memahami bajet kewangan terhad kelab itu sekali gus tidak menawarkan gaji tinggi kepada mereka, pada musim ini.

“Pemain yang bersama KUFC ini mereka faham keadaan pasukan bukan (berbelanja) mewah tapi kita komited kalau contoh (bayar) gaji, Insya-ALLAH kita akan berusaha bayar pada tepat masanya,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah menaruh kepercayaan tinggi terhadap kelab bimbingan bekas jurulatih Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan, Zahasmi Ismail untuk terus berada dalam kelompok lima teratas saingan liga amatur itu.

“Nampak persaingan cukup hebat ketika ini dan saya fikir KUFC tidak boleh main-main untuk menghadapi perlawanan akan datang. Kita tekankan kepada pemain bahawa KUFC tidak boleh ambil mudah setiap perlawanan.

“Ini termasuklah pasukan yang berada di bawah sekali kerana pengalaman pada awal musim ini sukar untuk kita kalahkan pasukan berkenaan,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, KUFC kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri dan sekali tewas selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Kelab yang dijenamakan semula itu membawa masuk bekas kapten The Red Warriors iaitu Mohd Badhri Radzi, Mohd Nidzad Ayub (Perak), Wan Mohd Ridhwan Deraman (Kelantan), Mohd Azrean Aziz (T-Team) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan) selain pemain import Gambia, Alfusainey Gassamu pada jendela perpindahan musim ini.

Komen anda