Liga Super: Bos Gaurus rebah ngauman Harimau Selatan di Ipoh

123

Foto: FB Perak TBG

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod kemenangan setelah menang bergaya 3-0 ke atas Perak pada aksi di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

 

 

JDT yang mengesahkan kejuaraan keenam liga berturut-turut minggu lepas, mengutip 49 mata setelah beraksi 19 perlawanan setakat ini.

 

 

Pada aksi di Ipoh, Leandro Velasquez meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-36, hasil kesilapan pertahanan Perak, sebelum beliau meledak gol peribadi kedua pada minit ke-47 menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti.

 

 

Pemain gantian, Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengesahkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, hasil umpanan Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

 

 

Tok Gajah menang di Kuantan

 

Pahang pula kembali meraih rentak kemenangan setelah menewaskan pasukan bawahan, Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

 

 

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Herold Goulon menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 dan gol padang Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

 

 

Terdahulu, Pahang terlepas peluang untuk berada di hadapan setelah sepakan penalti Lazarus Kaimbi pada minit ke-27 berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

 

 

PJ City tewas lagi

 

Dalam pada itu, nasib malang terus menimpa Petaling Jaya City FC (PJ City FC) setelah tewas 1-2 kepada Melaka pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

 

 

 

PJ City FC terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan Pedro Henrique pada minit ke-12 sebelum Melaka bangkit meledak dua gol menerusi Luka Milunovic pada minit ke-36 dan Jang Suk-Won pada minit ke-45.

 

 

Lion Troops tumbang

 

Dalam saingan Liga Premier, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraih tiga mata berharga setelah menang tipis 2-1 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

 

 

UiTM FC terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Maycon Rogerio Calijuri pada minit ke-16 sebelum PDRM bangkit meraih dua gol hasil sentuhan penyudah Uche Agba pada minit ke-42 dan minit ke-50.

 

 

Terengganu FC II pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 

 

Sarawak hampiri zon penyingkiran

 

 

Sarawak pula menghampiri zon penyingkiran setelah tewas 2-4 kepada Negeri Sembilan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching.

 

 

Dua gol Sarawak dijaringkan oleh Mohamad Alif Hassan pada minit ke-17 dan Hudson Dias De Jesusu pada masa tambahan babak pertama perlawanan.

 

 

Empat gol pelawat disumbangkan oleh Jose Almir Barros pada minit kelima dan ke-78, serta Igor Carneiro Luiz pada minit ke-25 dan ke-62.

Komen anda