Liga Super: Gergasi Merah potong Lang Merah

376
Aksi Ifedayo ketika meraikan jaringan gol ketiga Selangor yang juga gol 'hat-trick' dirinya ketika menentang Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SELANGOR memintas kedudukan Kedah di tangga ketiga Liga Super setelah mengatasi skuad Lang Merah itu  3-1 pada aksi di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kemenangan kelima daripada 13 perlawanan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah mengumpul 21 mata, berkelebihan dua mata ke atas Kedah yang turun ke tangga keempat dengan kutipan 19 mata.

Pada aksi di Shah Alam, pemain import baharu dari Nigeria, Ifedayo Olusegun muncul wira skuad Gergasi Merah setelah meledak jaringan hatrik.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-33 menerusi Ifedayo yang menanduk masuk sepakan percuma Sandro Da Silva, sebelum beliau menggandakan kedudukan menjadi 2-0, dua minit sebelum berakhirnya babak pertama setelah memanfaatkan kesilapan yang dilakukan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim.

Ifedayo melakar jaringan hatrik pada minit ke-56 setelah mudah menolak masuk hantaran K. Sarkunan, namun Kedah berjaya mengurangkan defisit jaringan hasil sentuhan penyudah Fernando Ortega pada minit ke-63.

Dalam pada itu, Melaka berpesta gol setelah menang selesa 6-0 ke atas pasukan tercorot, Felda United di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Penyerang import dari Serbia, Luka Milunovic meledak jaringan hatrik pada minit ke-36, 53′ dan 89′, selain tiga lagi gol daripada Patrick Reichelt pada minit keempat, Safiq Rahim (25′) dan Nazrin Nawi pada minit ke-35.

Ifedayo meraikan jaringan gol ketiga yang juga hatrik ketika menentang Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Komen anda