Liga Super: Harimau Selatan lebarkan penguasaan

126

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan penguasaan di persada Liga Super walaupun seri 1-1 menentang PKNP FC pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam tadi

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad Harimau Selatan selaku peneraju Liga Super dengan kutipan 40 mata selepas 16 perlawanan setakat ini.

Pada aksi berkenaan, Diogo Luis Santo meletakkan JDT di hadapan seawal minit keempat perlawanan, sebelum Ramon Da Silva Costa menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-14.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Afiq Fazail diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-76.

Pelawat sebelum ini berpeluang menggandakan kedudukan, namun sepakan penalti yang diambil Gonzalo Cabrera pada minit ke-54 tersasar.

Pahang pula kekal di tangga kedua walaupun seri tanpa jaringan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Perak pula naik dua anak tangga ke kedudukan keenam selepas menang tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya menerusi gol tunggal pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-19.

Terdahulu, PJ City FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah kapten pasukan, S Subramaniam diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-67.

Felda United pula meraih kemenangan tipis 5-4 ke atas PKNS FC pada aksi penuh dramatik di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Lima gol skuad The Fighters dijaringkan oleh Thiago Junio De Aquino pada minit keempat, kapten pasukan Muhammad Hadin Azman (44’), Muhammad Faiz Mazlan (47’), serta dua gol pemain antarabangsa Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-51 dan 55.

Empat gol PKNS FC pula disumbangkan oleh Kpah Sean Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (60’), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus (71’) dan Rodney Celvin Akwensivie pada minit ke-81.

Terdahulu, PKNS FC dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung babak pertama perlawanan, namun penjaga gol Felda United, Norazlan Razali berjaya menepis sepakan diambil Gabriel Guerra.

Dalam saingan Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terus mengungguli carta liga selepas menang bergaya 5-0 ke atas Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kemenangan kelapan daripada 15 perlawanan itu menyaksikan JDT II mengutip 29 mata.

Pemain import dari Argentina, Nicholas Alberto Fernandez muncul wira JDT II apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-13, 17 dan minit ke-89, selain jaringan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-50 dan D. Saarvindran pada minit ke-72.

Kelantan dan UiTM FC pula berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Komen anda