Lima pasukan sambar slot TNB LHRM 2019

98
Untitled

LIMA pasukan mengesahkan slot terakhir dalam saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 (TNB LHRM 2019) selepas mengharungi pusingan kedua playoff yang berlangsung di
Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

MSN-PHT-MSST, Sabah JR 2022, KL-Wipers, MSN/SSN Young Lion Perlis dan BJSS JR 2022 akan menyertai sembilan lagi pasukan dalam saingan liga yang akan membuka tirainya Jumaat ini.

Hasil kutipan mata keseluruhan menyaksikan kedudukan teratas bagi perlawanan playoff milik MSN-PHT-MSST yang mengumpul enam mata diikuti Sabah JR 2022 di kedudukan kedua dengan lima mata.

KL-Wipers yang turut mengumpul lima mata berada di kedudukan ketiga atas faktor perbezaan jaringan manakala MSN/SSN Young Lion Perlis di kedudukan keempat dan BJSS JR 2022 di tangga kelima.

Dalam salah satu aksi playoff tersebut, BJSS JR 2022 dan Sabah JR 2022 menampilkan aksi bertenaga sehingga pertemuan tersebut terpaksa diheret sehingga penentuan shoot-out apabila aksi 60 minit berkesudahan seri 2-2 sebelum kemenangan menjadi milik Sabah JR 2022.

BJSS JR 2022 membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi jaringan padang kapten pasukan, Muhd Halif Mohd Fadzly sebelum Sabah JR 2022 kembali mengikat kedudukan pada minit ke-29 hasil gol padang Yehzekoveen Rinol.

Seminit selepas aksi separuh masa pertama bermula, Sabah JR 2022 berjaya berada di hadapan seketika hasil gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh kapten pasukan, Muhammad Daniel Hakim dan jaringan penyamaan BJSS JR 2022 hadir pada minit ke-44 menerusi Shafy Shahymm Huzzeini Shahrul Azran Huzeini.

Sementara itu, MSN-PHT-MSST yang berpesta gol pada Jumaat lalu tidak berdepan masalah untuk memastikan slot mereka terjamin dalam saingan utama TNB LHRM 2019 apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut menewaskan PHNS/MSSNS/MSN 3-0 hasil tiga gol pukulan sudut penalti pada minit keenam, 34 dan 42.

Pertemuan di antara KL-Wipers dan GR Hilander Boys pula menyaksikan KL-Wipers yang terikat seri pada aksi pertama dan mendapat kelebihan satu mata selepas memenangi penentuan shoot out turut layak ke kejohanan sebenar apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas GR Hilander Boys.

Aksi yang berlangsung antara KLSS-TTC dan MSN/SSN Young Lion Perlis pula tamat dengan kemenangan 5-0 berpihak MSN/SSN Young Lion Perlis, sekali gus mereka muncul selaku lima pasukan terbaik untuk bersaing dalam saingan utama musim 2019.

Satu lagi pertemuan iaitu antara TBSS dan TMHC-PHK pula berkesudahan dengan kemenangan 3-1 berpihak kepada TBSS, namun tiga mata yang dikumpul dalam dua perlawanan tidak cukup membantu TBSS untuk mara.

Komen anda