Lin Dan raih kejuaraan kedua Terbuka Malaysia

1260
Lin Dan (kanan) bersama jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei (tengah) dan Chen Long (kiri) selepas perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

JUARA Olimpik dua kali dari China, Lin Dan merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kedua selepas menewaskan bintang sensasi senegara, Chen Long, di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada aksi final yang penuh mencabar, Lin Dan kalah pada set pertama 9-21 sebelum bangkit untuk meraih kemenangan pada set berikut 21-17, 21-11 pada pertarungan selama 78 minit dan membawa pulang AS$49,000 (RM200,417).

Kejayaan itu turut membawa kenangan manis kepada lagenda badminton dunia itu apabila musuh tradisi yang juga kawan baiknya, Datuk Lim Chong Wei diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepadanya.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran utama pertama buat Lin Dan dalam tempoh dua tahun selepas mengalahkan Chong Wei 21-19, 21-14 pada final edisi 2017 di Kuching, Sarawak.

“Kejayaan ini amat bermakna buat diri saya kerana ia membuktikan sesi latihan persendirian saya membuahkan hasil yang cukup baik sekali. Mana-mana kejohanan di Malaysia sentiasa rumit.

Chong Wei bertanya khabar dengan Lin Dan selepas perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

“Kemenangan ini adalah untuk kelab peminat saya yang sentiasa memberi insipirasi kepada saya untuk membuat kemunculan semula selepas dua tahun tanpa sebarang gelaran utama.

“Ini adalah penghormatan bagi saya untuk menerima hadiah daripada Chong Wei. Saya sendiri tidak pernah diberi peluang untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang,” kata Lin Dan.

Beliau juga mengakui bahawa acara perseorangan lelaki semakin sengit dalam kalangan pemain senior dan bintang meningkatkan ke arah kempen kelayakan Sukan Olympik Tokyo 2020.

Komen anda