‘Liverpool bernasib baik menang’

36
LAMPARD

Pengurus Chelsea, Frank Lampard menganggap Liverpool hanya bernasib baik apabila berjaya menjuarai Piala Super Eropah selepas menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Vodafone Park, Istanbul awal pagi tadi.

Ketika Liverpol yang tampil selaku juara Eropah beraksi di bawah tahap sebenar mereka, Chelsea pula dilihat lebih garang dengan deretan peluang di kubu The Reds terutamanya pada babak pertama.

Hasilnya, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Olivier Giroud pada minit ke-36 sebelum penyerang berbisa Liverpool, Sadio Mane menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula.

Terikat 1-1 selepas tamat 90 minit perlawanan, aksi masa tambahan memperlihatkan kedua-dua pasukan menambah satu lagi gol menerusi Mane pada minit ke-95 dan sepakan penalti Jorginho (101).

“Saya percaya Chelsea akan mengharungi musim yang baik selepas ini jika kami bermain seperti hari ini (awal pagi semalam). Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dan keyakinan yang ditunjukkan para pemain.

“Ia perlawanan yang sukar menentang pasukan hebat seperti Liverpool. Namun, ada ketikanya bola sepak ditentukan oleh sedikit tuah,” kata Lampard yang mula menggantikan tempat pengendali kelahiran Itali, Maurizio Sarri musim ini.

Ketika ditanya adakah Chelsea berpeluang muncul juara sebelum aksi penentuan sepakan penalti, Lampard menjawab: "Saya tidak pasti kerana saya cukup menghormati Liverpool.

"Namun, apa yang boleh saya katakan, kami merupakan sebuah pasukan yang kuat pada perlawanan ini. Kami hanya mengalami nasib malang mengakhiri perlawanan sebegini. Apapun saya bangga dan gembira melihatkan persembahan para pemain.

"Kami mahukan kemenangan tetapi malangnya kami gagal. Saya juga sedikit kecewa apabila kami dibolosi awal pada babak kedua kerana semuanya berjalan baik pada babak pertama," kata bekas tonggak England itu.

Komen anda