Liverpool makin digeruni di persada Eropah: Klopp

858
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya skuad The Reds semakin digeruni dan menunjukkan kematangan apabila beraksi di pentas Eropah.

Kenyataan Klopp itu hadir susulan kejayaan bermakna Liverpool membenam gergasi Jerman, Bayern Muncih 3-1 pada aksi kedua 16 terbaik Liga Juara-Juara di Arena Allianz, awal pagi semalam.

Sadio Mane menyumbang dua gol manakala satu lagi jaringan menerusi tandukan tonggak pertahanan, Virgil Van Dijk sudah cukup memastikan kemenangan bergaya The Reds di laman keramat lawan.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Liverpool mara ke saingan suku akhir dengan agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Anfield sebelum ini.

“Menjaringkan tiga gol di gelanggang lawan amat sukar walaupun kami sebenarnya menghasilkan empat gol kerana kami menjaringkan gol (sendiri) bagi pihak mereka (Bayern).

“Kita akan lihat sama ada kami akan berjaya musim ini, namun ia petanda yang amat-amat baik dan saya menggemarinya. Kemenangan ini membuktikan kelab hebat ini sudah kembali dalam landskap bola sepak antarabangsa sebagai pasukan terbaik.

“Kami perlu meletakkan kelab ini di tempat yang sepatutnya dan pada malam ini (awal pagi semalam), kami telah membuktikan bahawa perkara itu semakin hampir,” kata Klopp.

Menurut Klopp, Van Dijk boleh dianggap sebagai nadi kejayaan The Reds selepas pemain antarabangsa Belanda itu tidak beraksi di Anfield sebelum ini ekoran penggantungan perlawanan.

“Apa yang saya boleh katakan, saya mampu untuk menulis sebuah buku tentang kemahiran, kekuatan dan kehebatan yang dimikinya. Dia (Van Dijk) amat muda, amat kuat tetapi cukup matang.

“Dia sedar dia mampu beraksi lebih baik terutamnya pada babak kedua. Kami bermain dengan aksi yang sudah cukup untuk memenangi perlawanan ini. Tidak banyak pasukan mampu meraih kemenangan di Munich,” jelasnya lagi.

Begitupun, Klopp menafikan kemenangan di Munich sebagai misi balas dendam tercapai terhadap juara Bundesliga Jerman itu.

“Saya tidak mahu menewaskan Bayern hanya semata-mata untuk mengalahkan Bayern. Apa pun ia satu malam yang cukup mengagumkan buat Liverpool,” katanya.

Komen anda